Kelantan FC perlu ubah minda

Frank Bernhardt - Foto Bernama
Frank Bernhardt - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN Kelantan FC perlu segera mengubah minda sekiranya berhasrat mengeluarkan kelab itu dari kelompok bawahan Liga Super musim ini.

Itu yang dapat disimpulkan dari luahan hati pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt selepas The Red Warriors (TRW) mencatat kekalahan demi kekalahan dan terbaru 1-4 kepada PDRM FC.

Bernhardt mengambil alih pasukan daripada ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik sebelum ini.

"Kami (barisan kejurulatihan) semasa sesi latihan telah menyediakan perancangan taktikal untuk pasukan sebelum perlawanan, namun sebaliknya berlaku apabila kadangkala para pemain tidak mengikuti perancangan taktikal dalam perlawanan sebenar.

"Sebagai contoh hari ini, para pemain mengunakan pendekatan ofsaid untuk memerangkap pemain PDRM sebaliknya dua yang dijangka tidak ofsaid," jelas pengendali dari Kiel, Jerman itu ketika ditanya pemberita kemelut yang melanda skuad pantai timur tersebut pada ketika ini.

Pada satu ketika, jelas Bernhardt, barisan kejurulatihan mengubah taktikal pasukan dengan mengunakan tiga pemain tengah.

"Apabila kami mengunakan tiga pemain tengah, dan berfungsi hanya seorang pemain yang bermain menyaingi pemain lawan menyebabkan taktikal pasukan tidak berkesan.

"Ia umpama membina bangunan, yang memerlukan sokongan kerana apabila satu bahagian hilang, bangunan akan musnah.

"Saya juga tidak nampak sebarang masalah komunikasi dengan pemain apabila penolong saya sering membantu memberikan arahan taktikal semasa sesi latihan dan permainan sebenar.

"Apa yang saya nampak sebenarnya adalah mindset pemain, apabila barisan kejurulatihan mempunyai perancangan taktikal untuk pasukan sebelum perlawanan, pemain pula mempunyai perancangan sendiri semasa perlawanan, yang akhirnya tidak berbaloi," katanya.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu, hasrat Bernhardt untuk memperbaiki kedudukan liga TRW tampak samar apabila penjaga gol Kelantan FC, Nik Mohd Amin Ahmad bolos dua jaringan PDRM.

Dua gol The Cops yang dihasilkan Marcus Macauley minit ke-15 diikuti jaringan Nabil Ahmad Latpi minit ke-33 membolehkan anak buah Azzmi Ab Aziz memimpin perlawanan separuh masa pertama 2-0.

Separuh masa kedua, Kelantan memasukan Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi bagi menggantikan Nik Mohd Amin yang mengalami kecederaan bagi memperkemaskan benteng terakhir TRW.

Namun The Cops terus melebarkan jaringan dengan dua lagi gol yang dijelmakan Uche Agba pada minit je-65 sebelum Bruno Suzuki melabuh pesta gol pasukan pelawat minit ke-90.

Kelantan FC yang berusaha memberi saingan akhirnya mendapat gol saguhati hasil jaringan Miguel Cifuentes pada minit ke-94.

Kekalahan ke-10 liga itu menyaksikan Kelantan kekal di kedudukan ke-13 dengan empat mata manakala PDRM di tangga ke-10 dengan 13 mata.

Sebagai rekod, Kelantan FC yang tewas 0-3 kepada Selangor FC (9 April), 1-6 kepada Sabah FC (19 April), 2-3 kepada Perak FC (28 April) dan 0-5 kepada Kedah Darul Aman FC (19 Mei) sebelum ini.

TRW akan berdepan Kelantan United dalam Derbi Kota Bharu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dijadualkan pada 2 Jun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!