[VIDEO] Tikam, bakar teman wanita niat sembunyi kehamilan

Agus Salim (tiga dari kiri) menunjukkan barang bukti berhubung kes pembunuhan seorang wanita pada sidang media di Dewan Iltizam IPD Sabak Bernam pada Rabu.
Agus Salim (tiga dari kiri) menunjukkan barang bukti berhubung kes pembunuhan seorang wanita pada sidang media di Dewan Iltizam IPD Sabak Bernam pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Perselisihan faham tentang kehamilan menjadi punca seorang wanita mati ditikam, ditoreh di bahagian perut dan dibakar di kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, suspek berusia 20 tahun dipercayai membawa teman wanitanya menaiki sebuah kereta di kebun kelapa sawit itu kira-kira jam 10 malam.

Menurut beliau, suspek yang juga lepasan sebuah kolej tiba di lokasi kejadian terlebih dahulu bertengkar dengan mangsa berusia 21 tahun.

"Suspek mengenali mangsa sejak setahun lalu dipercayai naik berang apabila teman wanitanya enggan memenuhi permintaannya untuk merahsiakan kehamilan dipercayai hasil hubungan luar nikah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Dewan Iltizam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini pada Rabu.

Agus Salim berkata, sebelum kejadian, berlaku pergelutan antara kedua-duanya hingga lelaki itu bertindak memukul mangsa hingga mati.

"Lelaki itu kemudian bertindak kejam apabila menoreh perut mangsa yang hamil sebelum membakar mayat wanita berkenaan," jelas beliau.

Agus Salim berkata, suspek yang membakar mayat mangsa kemudiannya pulang ke rumah dan datang semula ke tempat kejadian keesokan harinya.

"Suspek yang berasa tidak sedap hati kemudian datang semula ke tempat kejadian dengan motosikalnya kira-kira jam 7 pagi dan sekali lagi bertindak membakar mayat mangsa menggunakan minyak petrol," kata beliau.

Katanya, lelaki itu membakar mangsa yang juga pekerja sebuah kedai makan untuk melupuskan mayat selain cuba membuang semua barang bukti di sekitar Jalan Lama Kuala Selangor.

Jelas Agus Salim, tindakan mangsa itu disedari orang awam yang menemui mayat terbakar di lokasi kejadian sebelum menghubungi polis.

"Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menahan suspek di sebuah rumah keluarganya pada jam 1.45 petang Selasa di Sungai Besar.

"Semakan polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan direman selama enam hari bermula Rabu untuk membantu siasatan," katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

"Mayat mangsa yang terbakar 60 peratus dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat," tambahnya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, mayat tanpa identiti ditemui terbakar di tepi kebun kelapa sawit berhampiran kandang lembu di Kampung Sungai Limau di sini pada Selasa.

Kejadian disedari orang awam yang ternampak asap di dalam semak ketika melalui kawasan berhampiran kira-kira jam 7 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!