PPN minta Anwar campur tangan
IPOH - Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai pemimpin yang sesuai untuk campur tangan pembatalan atau penangguhan Warta Kerajaan Persekutuan bagi Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Nadzri Ismail berkata, selaku seorang tokoh reformasi yang pernah menjawat jawatan menteri pertanian suatu ketika dahulu, beliau yakin dan percaya Ahli Parlimen Port Dickson itu dapat mengambil berat perkara itu.
"Selain Perdana Menteri, kita juga minta beliau bakal Perdana Menteri ke-8 supaya ambil berat atau jadi orang tengah dalam hal ini. Anwar juga boleh berperanan selaku ‘orang tengah’ dalam isu ini.
"Beliau membawa konsep Malaysia Baharu dalam perjuangannya yang penuh demokrasi tulen, demokrasi muslim. Ada buku diai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, PPN Perak yakin dan percaya Anwar mempunyai visi lebih jauh untuk melihat perkara itu dan membantu ahli PPN untuk batalkan warta kerajaan berkenaan.
Warta diluluskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkuatkuasa esok itu diumumkan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman, baru-baru ini.
Bantahan terhadap peraturan berkenaan dibuat berikutan ia tidak dibincangkan dengan pihak PPN termasuk pihak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Malah ia dilihat tidak demokratik apabila berlaku lantikan menteri yang melebihi daripada pemilihan dalam kalangan perwakilan PPN itu sendiri.
Dalam pada itu semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diminta menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan PPK masing-masing.
“Mesyuarat agung perlukan korum dan jika tak hadir korum tak cukup, maka PPK itu akan lumpuh. Sebab itulah kerajaan kena cepat ambil tindakan tangguhkan atau batalkan warta kerajaan itu.
“Dalam masa yang sama kita akan tunggu kalau ada saman daripada pihak PPK Kelantan kepada Kerajaan berhubung warta berkenaan,” katanya.
Sementara itu Ahli Pengerusi PPN Kelantan yang juga Ahli Jemaah Pengarah Nafas Datuk Abd Aziz Derashid berkata, pihaknya akan mengemukakan saman berkenaan minggu depan.
“Setakat ini, PPN Terengganu dah setuju dengan tindakan kita dan bersama dengan kita. Akhirnya nanti, mungkin kita akan himpunkan 50,000 hingga 60,000 peladang dari seluruh negara untuk buat bantahan di Putrajaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!