Latar belakang syarikat terlibat MoU di China ditapis
SEMUA memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dengan China sebelum ini dinilai dan ditapis terlebih dahulu secara komprehensif serta telus oleh Jawatankuasa Penilaian MoU yang dianggotai beberapa kementerian dan agensi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penilaian itu termasuk membabitkan penelitian implikasi MoU terhadap dasar luar negara, memastikan syarikat tidak disenarai hitam oleh Kementerian Kewangan (MOF) serta impaknya dalam aspek perdagangan dan pelaburan negara.
Menurutnya, selepas penelitian yang dibuat secara komprehensif itu, terdapat juga beberapa MoU yang ditandatangani, ditolak jawatankuasa terbabit berikutan ia tidak memenuhi kriteria selain tidak membawa faedah ekonomi yang signifikan kepada negara.
"Selain MOF, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Kementerian Luar yang akan meneliti implikasi perjanjian terhadap dasar luar negara.
"Sebarang MoU membabitkan syarikat Malaysia dan negara asing yang bakal disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dinilai terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Penilaian MoU.
"Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pula akan mengambil kira faedah yang diperoleh terhadap aspek perdagangan negara, manakala Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meneliti dalam aspek pelaburan negara.
"Tanggungjawab MITI pula menganalisis kekuatan kewangan syarikat tempatan yang terbabit dengan MoU itu, sementara pejabat undang-undang MITI akan memastikan perjanjian tidak akan memberi sebarang implikasi buruk terhadap kerajaan," katanya menerusi video yang dimuat naik di Twitternya pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan terhadap isu dibangkitkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung persoalan mengenai status beberapa syarikat Malaysia yang menandatangani MoU bersama syarikat China ketika lawatan Perdana Menteri ke negara itu sebelum ini yang disifatkan beliau tidak mempunyai rekod pencapaian yang mencukupi.
Akhir Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke China bagi bertemu pemimpin utama negara itu serta pelabur dan tokoh korporat utama China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!