'Adik tak banyak kongsi hal peribadi' - Kakak

Keratan portal Sinar Harian pada Rabu.
Keratan portal Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Ahli keluarga kepada mangsa yang maut ditikam, ditoreh di bahagian perut dan dibakar mengakui masih terkejut dan bersedih dengan tragedi menimpa mangsa yang dibunuh kejam dalam kejadian di kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, di sini pada Isnin.

Kakak kepada mangsa yang enggan dikenali berusia 26 tahun berkata, kejadian itu diketahui daripada majikan tempat kerja adiknya itu pada jam 5.30 petang Selasa.

"Saya dihubungi melalui telefon yang menyatakan adik ditemui terbakar dan telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Kakak mangsa memberitahu, sehari sebelum kejadian, adiknya yang berusia 21 tahun itu tidak sihat dan hanya kerja separuh hari pada Isnin.

"Kakak ipar maklumkan adik keluar rumah jam 2.30 petang Isnin dan selepas itu dia terus hilang.

"Saya cuba hubunginya berkali-kali tetapi tidak berjawab dan selepas itu kami dikejutkan dengan penemuan mayatnya (pada Selasa) di kebun kelapa sawit," jelasnya.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa adiknya itu pada malam Ahad lalu ketika makan malam bersama keluarga, namun adiknya itu mengadu kurang sihat selain tidak ceria berbanding biasa dan kurang selera makan.

Menurut kakak mangsa, walaupun telah kehilangan ayah dan ibu, hubungan dia dan adiknya itu rapat, namun menyifatkan anak kelima daripada enam beradik itu tidak banyak berkongsi hal peribadi.

"Dia seorang yang ceria dan peramah selain mengambil berat dengan bertanya saya sama ada sudah makan atau belum," tambahnya.

Berhubung kejadian terbabit, katanya, ahli keluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Adik saya masih berada di Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan perkembangan lanjut," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, perselisihan faham tentang kehamilan menjadi punca seorang wanita mati ditikam, ditoreh di bahagian perut dan dibakar di kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, di sini pada Isnin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!