JDT ada pelan terbaik buat Safawi

Safawi Rasid
Safawi Rasid
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sudah tentu mempunyai perancangan terbaik untuk Safawi Rasid selepas pemain itu kembali dari tempoh pinjaman bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Safawi telah membuktikan bahawa dia mampu untuk beraksi dengan baik di Thailand selain menjadi antara pemain yang sering diturunkan dalam kesebelasan utama Ratchaburi.

“Sebelum ini, beberapa pasukan Liga Malaysia ada menyatakan minat untuk mendapatkan Safawi secara pinjaman dan mungkin itu perancangan seterusnya JDT.

“Kalau tidak dipinjamkan sekali pun, JDT mempunyai banyak perlawanan yang akan diharungi musim ini dan mungkin Safawi akan dapat minit permainan yang dimahukannya.

“Apa yang penting adalah Safawi dapat meraih lebih banyak peluang beraksi sekali gus memastikan dia dapat memberikan banyak pilihan kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang persiapan ke Piala Asia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Safawi dilihat kembali menjalani latihan bersama JDT setelah tamat tempoh pinjaman bersama Ratchaburi selepas Liga Thailand berakhir baru-baru ini.

Pemain kelahiran Terengganu itu telah membantu Ratchaburi menamatkan saingan liga di kedudukan kelapan selain dia turut diturunkan dengan kerap dalam setiap perlawanan.

Sebelum ini, Terengganu FC secara terbuka menyatakan minat untuk mendapatkan Safawi secara pinjaman daripada JDT.

Dalam pada itu, Mohd Azraai juga percaya pemain berusia 26 tahun itu mampu untuk kembali menembusi kesebelasan utama JDT sekiranya dia menampilkan tahap permainan yang baik.

“Sesuatu yang bagus untuk Safawi jika dia dapat bersaing kembali meletakkan dirinya dalam kesebelasan utama JDT. Kita tahu kualiti yang dimilikinya dan saya yakin dia boleh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!