Perang bukan penyelesaian konflik - Tun M

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - "Peperangan bukan penyelesaian kepada konflik," kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Tokyo pada Rabu, lapor Xinhua.

"Dunia kini menghadapi masalah yang sama dan tidak boleh ditangani oleh hanya sebuah negara kerana kita pada dasarnya adalah satu dunia," kata bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun itu semasa berucap di Kelab Wartawan Asing Jepun di Tokyo.

Mengenai krisis Ukraine, Dr Mahathir menggesa rundingan 'di meja bulat, bukan di medan perang', sambil menambah bahawa bantuan ketenteraan ke atas Ukraine yang diketuai AS dan serangan tidak terkawal ke atas Rusia boleh mencetuskan perang dunia.

Dr Mahathir berpendapat beberapa pemimpin lain yang dijemput ke sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) tidak menunjukkan sokongan kepada Ukraine seperti pemimpin G7 adalah kerana 'mereka tidak suka perang'.

"Saya tidak fikir pergi berperang, konfrontasi, atau menghantar penceramah anda untuk memprovokasi negara lain adalah cara yang baik untuk menamatkan masalah yang menjejaskan seluruh dunia.

"Jadi pandangan saya ialah kita mesti menolak peperangan," katanya.

Pada sidang kemuncak G7 yang berakhir Ahad di bandar Hiroshima, ahli G7 berikrar untuk memperhebat sokongan ke atas Ukraine dan mengumumkan langkah-langkah sekatan khusus terhadap Rusia.

Dr Mahathir menegaskan bahawa keputusan yang dibuat untuk mengenakan sekatan ke atas Rusia telah menjejaskan ekonomi Malaysia dan banyak negara lain yang tidak mempunyai keinginan untuk melawan sesiapa.

"Ya, anda boleh mengenakan sekatan, tetapi sekatan merugikan negara lain juga,” kata bekas Perdana Menteri itu. - Bernama-Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!