Sesi persekolahan pada Januari disambut baik

No Image Caption
A
A
A

SHAHA ALAM - Rata-rata ibu bapa menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memulakan semula sesi persekolahan pada Januari tahun 2026.

Seorang suri rumah, Siti Ainiza Kamsari, 54, berkata, sesi persekolahan seperti yang dulu dapat memberi semangat kepada pelajar untuk kembali ke sekolah selepas cuti hujung tahun.

Katanya, bukan sahaja anak-anak, bahkan ibu bapa pun sukar hendak membiasakan diri apabila permulaan sesi sekolah pada Mac.

“Sesi sekolah bermula Januari sangat baik kerana ia dapat memudahkan perjalanan takwim dan persekolahan. Lagipun, anak-anak selalunya lebih bersemangat pada awal tahun dengan meletakkan azam tahun baharu dan azam buka sekolah.

“Bagaimanapun, saya berharap kerajaan tidak jadikan anak-anak seperti ‘tikus makmal’ untuk dikaji. Kerap berlaku pelbagai perubahan dan dasar pendidikan akan menjejaskan semangat mereka,” ujarnya.

Pada Selasa, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, kerajaan telah memulakan usaha untuk awalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada Februari 2025.

Katanya, kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada tahun 2026.

Sementara itu, Umi Shidatul Jannata Ainirah Che Omar, 32, berpendapat, tindakan kerajaan itu perlu dipuji kerana mendengar suara rakyat terutamanya golongan ibu bapa.

“Kami sebagai ibu bapa lebih selesa dengan sesi persekolahan pada awal tahun, mungkin sebab sudah terbiasa. Lagipun, senang untuk mengadakan persiapan kerana sudah tahu awal tahun buka sekolah,” ujarnya.

Penjawat awam, Roszaniah Yahya, 42, pula menyatakan persekolahan bulan Mac menyebabkan ibu bapa akan terbeban dengan sesi pembukaan sekolah dan persiapan Aidilfitri.

“Macam tahun ini susah untuk ibu bapa mengatur bajet kerana sesi sekolah bermula dan pada masa sama, persiapan Aidilfitri pula,” jelasnya.

Sementara itu, KPM dalam kenyataan pada Rabu berkata, sesi persekolahan 2024/2025 akan bermula pada Mac 2024 manakala sesi 2025 pada Februari 2025.

Menurut KPM, ia adalah untuk mengembalikan sesi persekolahan 2026 kepada Januari seperti sebelum ini.

Sehubungan itu, ujarnya, penjajaran kepada jadual peperiksaan awam akan dilakukan agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan yang akan dilaksanakan.

“Penelitian untuk kembalikan sesi persekolahan kepada Januari melihat kepada kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum,” katanya.

Ujar KPM, pertimbangan itu adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!