Rebut peluang beli buku baharu
SHAH ALAM - Para pencinta buku berpeluang untuk mendapatkan koleksi buku-buku baharu dengan mengunjungi reruai Grup Buku Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang akan bermula pada 26 Mei hingga 4 Jun.
Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, terdapat lebih 60 judul baharu bagi terbitan 2023 yang masih belum diedarkan ke kedai buku di seluruh negara.
Katanya, pengunjung boleh mendapatkan buku-buku tersebut dengan mengunjungi PBAKL.
“Bagi buku baharu, pihak kami menawarkan diskaun sebanyak 10 hingga 15 peratus. Antara koleksi baharu merangkumi novel, buku agama, kanak-kanak dan bahan bacaan umum.
“Pengunjung turut ditawarkan dengan koleksi buku sedia ada dengan harga serendah RM10,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah Roziana, bagi kategori buku baharu, K-Lit antara yang akan diperkenalkan di Grup Buku Karangkraf.
“Pengunjung dijemput hadir bersama keluarga kerana banyak jenis buku pelbagai peringkat umur boleh didapati di reruai Grup Buku Karangkraf.
“Lagipun, kami menyediakan pelbagai kemudahan antaranya terdapat tujuh kaunter dan pembayaran secara atas talian bagi memudahkan para pengunjung,” ujarnya.
Beliau turut menjangkakan jumlah pengunjung tahun ini akan bertambah berbanding PBAKL tahun lepas memandangkan terdapat banyak produk yang berkualiti dan menarik.
“Saya harap PBAKL tahun ini jumlah pengunjung akan bertambah apatah lagi minggu depan cuti sekolah sudah bermula.
“Inilah masa sesuai ibu bapa membawa anak-anak ke PBAKL bagi mengisi masa lapang mereka sekali gus menerapkan budaya membaca dalam kalangan murid dan pelajar,” jelasnya.
Mengenai persediaan PBAKL, Roziana memberitahu pihaknya kini sedang giat menyusun stok buku-buku sedia ada dan bahan promosi bagi memastikan penjualan di reruai Karangkraf sepanjang pesta buku berjalan lancar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!