Ada apa dengan nombor plat harga berjuta
MERAK JALANAN kadangkala hairan mengapa ramai orang sanggup membayar sejumlah besar wang untuk mendapatkan nombor plat kereta dan motosikal yang diidamkan.
Adakah kerana hobi semata-mata, lambang prestij atau ia nombor yang ada tuah mengikut kepercayaan tertentu?
Terbaharu, bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri FF mencatat hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid berjumlah RM34.3 juta.
Nombor plat paling mahal adalah FF8 yang dibida pada harga RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999), FF3 (RM639,000) dan FF2 (RM638,000).
Seingat Merak Jalanan, cerita orang sanggup keluar duit berjuta-juta ringgit untuk membeli nombor plat bukanlah perkara baharu.
Nombor-nombor cantik dan penuh makna ini telah lama menarik minat luar biasa golongan jutawan, ahli perniagaan, tokoh politik malah kerabat diraja di Malaysia dan seluruh dunia.
Baru-baru ini agensi berita melaporkan P7 menjadi nombor plat kenderaan paling mahal di dunia apabila dijual pada harga hampir 55 juta dirham (RM66 juta) pada satu acara lelongan di UAE.
Nilai RM66 juta itu boleh digunakan untuk membeli 500 buah Toyota Corolla Cross, tetapi dihabiskan hanya untuk sekeping nombor plat!
Lelongan The Most Noble Numbers di Dubai itu menawarkan nombor pendaftaran kenderaan dan nombor telefon yang menjadi kegilaan pengguna.
Nombor P7 tersebut dibida oleh pengasas aplikasi Telegram, Pavel Valeryevich Durov yang berketurunan Perancis-UAE. Merak Jalanan harap ini cuma hobi orang kaya atau T20.
Kepada B40 dan M40, kalau ada duit lebih elokkan gunakan untuk perkara yang lebih berfaedah seperti menambah simpanan, melabur dalam saham amanah, beli insurans kesihatan, pergi bercuti atau tolong orang susah.
Tak berbaloi beli nombor plat!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!