KPDN tahan dua lelaki seleweng diesel bersubsidi

Pelbagai peralatan dan lori tangki dirampas dalam serbuan KPDN Selangor di sebuah stor di Serdang pada Selasa.
Pelbagai peralatan dan lori tangki dirampas dalam serbuan KPDN Selangor di sebuah stor di Serdang pada Selasa.
A
A
A

SERDANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor berjaya merampas 25,000 liter minyak diesel disyaki bersubsidi, sebuah lori tangki dan dua skid tank serta pelbagai peralatan dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM300,000.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, rampasan tersebut dilakukan menerusi Ops Tiris di sebuah stor, di sini, yang menjalankan aktiviti penyelewengan bahan api diesel bersubsidi pada jam 5 pagi, Selasa.

"Semasa serbuan dilakukan, kita dapati dua individu melakukan aktiviti pemindahan bahan api dari sebuah lori tangki yang lengkap dengan hos penyambung untuk disedut masuk ke dalam skid tank yang berada di stor tersebut.

"Kita menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 52 tahun itu bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zuhairi berkata, serbuan dilaksanakan oleh tujuh anggota penguat kuasa KPDN Selangor.

"Tindakan ini adalah hasil risikan selama dua minggu oleh pasukan risikan serta maklumat dan aduan daripada orang awam yang mencurigai aktiviti yang melibatkan bahan api di stor berkenaan," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan terdapat lebih kurang 14,000 liter minyak diesel di dalam skid tank dan lebih kurang 11,000 liter minyak diesel di dalam lori tangki tersebut.

"Kesemua barang yang dirampas disimpan dan dikawal rapi di bawah Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Selangor," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!