Kosma sumbang satu tan minyak masak
Pengerusinya, Datuk Mokhtar Md Salleh berkata, bantuan itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang yang akan bertanggungjawab mengagihkan kepada 10 pejabat kebajikan masyarakat daerah dan setiap daerah menerima 100 botol.
Menurutnya, sumbangan terbabit kali pertama dibuat oleh pihaknya bagi membantu keperluan harian mangsa banjir kepada JKM.
“JKM akan mengagihkan sumbangan ini kepada setiap daerah bagi kegunaan aktiviti memasak di pusat pemindahan banjir.
“Sumbangan yang diberikan dibawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kosma bagi meringankan beban yang ditanggung kerajaan negeri. Sebelum ini kita memberi bantuan banjir terus kepada mangsa dibeberapa daerah," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan minyak masak kepada JKM Pahang dipekarangan depot simpanan keperluan bencana negeri di Indera Mahkota, hari ini.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah JKM Pahang, Mohd Zafri Hamzah.
Dalam pada itu, katanya, sumbangan yang diberikan ini diharap dapat menarik minat pihak lain untuk tampil memberi bantuan banjir kepada JKM bagi kegunaan mangsa di pusat pemindahan banjir di negeri ini.
Sementara itu, Mohd Zafri berkata, pihaknya memuji keprihatinan pihak pengurusan Kosma yang tampil memberi bantuan minyak masak dengan jumlah yang banyak sebagai persiapan menghadapi musim banjir.
Katanya, jabatan akan mengagihkan bantuan terbabit kepada 10 daerah yang akan diagihkan pada semua pangkalan hadapan di negeri ini secara berperingkat sebelum musim tengkujuh berlaku.
"Jabatan sentiasa mengalukan sumbangan keperluan harian untuk mangsa banjir di pusat pemindahan terutama membabitkan beberapa barangan seperti lampin bayi, sabun, kain dan makanan.
“Sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban JKM menyediakan kemudahan yang diperlukan,” katanya.
Selain itu, katanya, semua jenis barangan keperluan mangsa banjir disimpan di depot simpanan keperluan bencana negeri di Indera Mahkota dan agihan ke pangkalan hadapan sudah dilakukan termasuk di Pulau Tioman, Rompin dan Ulu Jerantut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!