'Isu kalimah ALLAH, saya dikambinghitamkan' - Aziz Bari
IPOH - Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menganggap tuduhan yang dilemparkan terhadapnya berkaitan isu kalimah ALLAH hanya untuk dijadikan kambing hitam untuk memanipulasi isu tersebut.
Menurutnya, tuduhan yang dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen itu bertujuan mengelirukan orang ramai sedangkan keputusan mengenai isu tersebut dibuat oleh mahkamah.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, afidavit yang diberikan hanya pandangan peribadi mengikut peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan setelah diminta oleh peguam.
"Sebenarnya itu keputusan Mahkamah Tinggi, saya tidak pasti dan tidak tahu mengapa saya dijadikan sasaran oleh Takiyuddin. Saya hanya memberikan afidavit yang diminta oleh peguam yang membawa kes itu.
"Kes itu diputuskan oleh hakim berkenaan di Mahkamah Tinggi, bukan saya yang putuskan. Jadi kenapa tak berani mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi itu. Kenapa saya dan DAP yang tidak ada kena mengena dijadikan sasaran," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Khamis.
Abdul Aziz berkata, pandangan yang dikemukakan dari perspektif hak kebebasan beragama dan kitab injil tersebut bukan untuk disebarkan kepada umum hanya kepada penganut Kristian di Sarawak.
Menurutnya, di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan rakyat di negara ini mengamalkan agama masing-masing tanpa sebarang halangan.
Beliau berkata, isu kalimah ALLAH itu kini dilihat sengaja ditimbulkan untuk digunakan sebagai modal politik menjelang Pilihan Raya Negeri.
Baru-baru ini, video sidang akhbar oleh Takiyuddin itu tular menyebut nama Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom.
Sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!