Pelantikan Tat Meng: 'Kami ikut undang-undang' - Zii Jia

Zii Jia berharap kehadiran Tat Meng mampu melonjakkan prestasinya pada satu tahap lebih tinggi. - Foto Bernama
Zii Jia berharap kehadiran Tat Meng mampu melonjakkan prestasinya pada satu tahap lebih tinggi. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menolak dakwaan dia 'merampas' jurulatih pasukan kebangsaan Hong Kong, Wong Tat Meng secara tidak profesional.

Sebaliknya, Zii Jia berkata, dia dan pasukannya, Team LZJ mengikut saluran yang sah bagi mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Ipoh, Perak berusia 56 tahun itu.

“Saya tidak fikir ini (pelantikan Tat Meng sebagai Pengarahan Kejurulatihan Team LZJ) satu isu. Kami melakukannya secara profesional dan mengikut undang-undang.

“Apabila Eric Ten Hag meninggalkan Ajax untuk ke Manchester United, adakah pemain dan pengurusan (Ajax) membuat bising (meluahkan rasa tak puas hati)...tidak ada.

“Jadi lebih baik pandang ke depan dan cuba bersikap positif. Marilah kita bantu satu sama lain untuk mengejar impian Olimpik bersama-sama,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Rabu.

Pada Selasa lalu, Team LZJ secara rasmi mengumumkan pelantikan Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan dalam usaha pemain nombor 10 dunia itu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun, timbul perkhabaran kurang enak didengar apabila pemain perseorangan lelaki Hong Kong, Angus Ng Ka Long meluahkan rasa kecewa susulan pelantikan Tat Meng itu.

Bagi Ka Long, ia situasi janggal memandangkan dia dan rakan-rakan sepasukannya mempunyai tempoh terhad untuk membuat persediaan ke Sukan Asia 2022 Hangzhou, China September depan.

Mengulas lanjut, Zii Jia berkata, dia memilih Tat Meng sebagai 'sifu' atas pengalaman luas yang dimiliki jurulatih yang pernah berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.

“Akhirnya saya sudah ada jurulatih yang berasal dari Malaysia...sudah tentu ramai yang gembira. Dia (Tat Meng) seorang jurulatih yang cukup berpengalaman.

“Dia juga memiliki rekod yang baik sebelum ini dan membimbing beberapa pemain terbaik dunia seperti (perseorangan wanita Korea Selatan) An Se-young.

“Jadi saya harap dia akan membawa saya pada satu tahap yang lebih tinggi,” ujarnya yang bergerak solo tanpa khidmat jurulatih selepas berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Pada masa sama, Zii Jia berharap mendapat sentuhan Tat Meng yang pernah membimbing Korea Selatan, Indonesia dan Scotland dalam masa terdekat.

“Kita ada satu bulan tempoh berehat selepas Terbuka Indonesia (dari 13 hingga 18 Jun) dan dia juga ada perkara yang perlu diselesaikan lagi,” jelas Zii Jia.

Ketika ditanya adakah kontrak Tat Meng sehingga Sukan Olimpik Paris 2024, Zii Jia berkata: “Itu tak pasti, kena tanya kakak saya (Lee Zii Yi selaku pengurus Team LZJ).”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!