Anggota Maritim hilang ketika mendaki Telaga Tujuh

Mohd Ridhaudden (gambar kiri). Shariman (kiri) memberi taklimat berhubung operasi mencari Mohd Ridhaudden yang dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki Telaga Tujuh, Gunung Mat Chinchang, di sini pada Khamis.
Mohd Ridhaudden (gambar kiri). Shariman (kiri) memberi taklimat berhubung operasi mencari Mohd Ridhaudden yang dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki Telaga Tujuh, Gunung Mat Chinchang, di sini pada Khamis.
A
A
A

LANGKAWI - Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki Telaga Tujuh, Gunung Mat Chinchang, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Ridhaudden Rosman, 32, dari Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) Maritim Malaysia Putrajaya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai seorang pegawai Maritim Malaysia disyaki hilang semasa mendaki Telaga Tujuh, Gunung Mat Chincang itu pada jam 12.47 tengah malam.

"Melalui pemeriksaan, motosikal yang digunakan anggota terlibat masih berada di kawasan letak kereta Telaga Tujuh.

"Kali terakhir mangsa memuat status di media sosial bahawa dia tiba di puncak Telaga Tujuh adalah lebih kurang jam 4.45 petang Rabu dan berkomunikasi dengan isteri sekitar jam 5.15 petang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, mangsa yang dipercayai mendaki sendiri berada di Langkawi sempena penugasan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, pencarian awal anggota Maritim Malaysia terbabit telah dimulakan seawal jam 2 pagi.

Tambah Shariman, operasi mencari dan menyelamat melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM),Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melibatkan seramai 23 pegawai dan 68 anggota.

"Operasi turut dibantu 15 orang awam yang mahir tentang laluan itu, selain turut melibatkan kekuatan dan aset darat dan udara,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!