Lebih 300 bina struktur haram atas longkang

Petugas KDEBWM sedang melakukan kerja pembersihan longkang menggunakan CBC di Bandar Puteri, Puchong pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Petugas KDEBWM sedang melakukan kerja pembersihan longkang menggunakan CBC di Bandar Puteri, Puchong pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

PUCHONG - Lebih 300 premis terutama restoran di Bandar Puteri Puchong di sini dikesan membina struktur tambahan di atas longkang yang menyukarkan kerja pembersihan saliran dijalankan.

Ketua Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM) cawangan Subang Jaya, Mohd Fauzan Hushim berkata, jadual kerja pembersihan longkang dua kali sebulan tidak dapat dilaksanakan secara sempurna disebabkan masalah halangan itu.

Menurutnya, peniaga tidak sedar yang binaan haram itu telah mengganggu kerja pembersihan seterusnya menyebabkan longkang tersumbat.

"Kerja pembersihan ini dilakukan secara manual iaitu kru menggunakan penyodok untuk angkat sampah atau mendapan dari longkang. Apabila ada halangan, kerja pembersihan tidak dapat dilakukan.

"Selain itu, terdapat restoran mengeluarkan sisa makanan atau minyak disalur ke longkang apabila perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik," katanya pada Operasi Jetter di kawasan Zon Kinrara pada Khamis.

Dalam operasi itu, sebanyak 13 struktur binaan haram di belakang kedai Jalan Puteri 2/3 Puchong dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) susulan aduan longkang bermasalah dan tidak dibersihkan di kawasan itu.

Mohd Fauzan berkata, menerusi operasi itu, KDEBWM menggunakan water jetter dan Catch Basin Cleaner (CBC) untuk membersih serta menyedut kotoran dalam longkang.

Jelasnya, pihaknya telah menggunakan kaedah sama untuk operasi pembersihan di kawasan itu namun ia hanya bersifat sementara susulan kerja pembersihan secara manual tidak dapat dilakukan selepas itu.

"Pembersihan besar-besaran ini dilakukan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana KDEBWM menggunakan peruntukan sendiri dan membabitkan tenaga dalaman syarikat.

"Justeru, saya berharap peniaga mempunyai kesedaran untuk mengambil tindakan bersama-sama menjaga premis masing-masing untuk kebersihan berterusan," katanya.

Mohd Fauzan dan Kok Weng
Mohd Fauzan dan Kok Weng

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya MBSJ dapat meneruskan tindakan tegas terhadap premis yang membuat sambungan haram bagi mengatasi isu halangan.

"Kami sebenarnya bertindak untuk kerja pembersihan sebaliknya MBSJ yang mempunyai kuasa untuk kompaun dan melakukan runtuhan kepada binaan haram ini.

"Saya berterima kasih kepada MBSJ kerana melaksanakan tindakan tegas pada hari ini yang memudahkan kerja pembersihan pada masa akan datang dan saya syorkan tindakan sama terus dilakukan bagi menjamin kebersihan bandar raya Subang Jaya," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBSJ, Yap Kok Weng berkata, kawasan Bandar Puteri 2 telah berusia lebih 20 tahun dan kebanyakan kedai terdiri daripada restoran.

"Ramai pengusaha restoran menambah binaan bagi kembangkan perniagaan yang menyumbang isu kebersihan termasuk pembiakan tikus dan lipas.

Petugas KDEBWM sedang melakukan kerja pembersihan longkang menggunakan air bertekanan tinggi di Bandar Puteri, Puchong pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Petugas KDEBWM sedang melakukan kerja pembersihan longkang menggunakan air bertekanan tinggi di Bandar Puteri, Puchong pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

"Isu ini telah lama berlarutan namun ketika pandemik Covid-19 lalu agak sukar untuk mengambil tindakan disebabkan ekonomi yang tidak baik. Kini adalah masa sesuai untuk ambil tindakan atasi masalah ini," katanya.

Beliau berharap tindakan ini akan memberikan contoh untuk kawasan lain bersama-sama menjaga kebersihan premis dan kualiti makanan pelanggan juga terjamin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!