Pembantu rumah dirantai, majikan ditahan

Gambar hiasan - Foto 123rf (Gambar kecil: Hussein Omar Khan)
Gambar hiasan - Foto 123rf (Gambar kecil: Hussein Omar Khan)
A
A
A

KAJANG - Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang ditemukan dirantai di sebuah flat di Taman Tenaga di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, suami isteri berusia 40 dan 50-an yang juga majikan kepada mangsa telah ditahan di sini pada Rabu.

"Pasangan tersebut telah ditahan reman selama dua hari bermula hari ini (Khamis) hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah.

"Mangsa tiada sebarang trauma dan telah kembali ke kediamannya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan orang ramai terdengar jeritan seorang wanita berusia 40-an di sebuah rumah di tingkat dua flat berkenaan pada jam 9 malam, Ahad.

Orang ramai telah menghubungi pihak polis untuk membuat pemeriksaan, polis kemudian memecah pintu rumah itu dan seorang wanita ditemukan dalam keadaan dirantai dan lesu di dalam bilik air.

Mangsa dirantai di dalam bilik air oleh pasangan berkenaan kerana disyaki mencuri barang kemas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!