Suami isteri beza usia 38 tahun dianggap bapa, anak

Nur Arelya dan suaminya, Mohamed.
Nur Arelya dan suaminya, Mohamed.
A
A
A

KOTA BHARU - Beza umur 38 tahun antara Nur Arelya Azahar, 24, dan suami, Mohamed Saman, 62, sering menimbulkan kekeliruan sehingga ramai beranggapan mereka adalah pasangan anak dan ayah.

Bagaimanapun, situasi tersebut tidak menjadi halangan buat pasangan duda dan dara itu untuk terus menyulam kasih sehingga gelagat romantik mereka tular selepas video yang dimuat naik di TikTok menimbulkan rasa kagum dalam kalangan warganet melihat kemesraan mereka.

Berkongsi kisah percintaan itu, Nur Arelya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik berkata, dia mula berkenalan dengan suami pada tahun 2019 semasa bekerja di sebuah kedai makan.

"Suami suka makan nasi kerabu Golok yang dibuat oleh saya, boleh dikatakan setiap hari.

"Sehinggalah pada tahun 2020, kami mulai rapat selepas kematian ayah saya. Bermula dari situ hubungan kami bertambah erat sehingga jatuh cinta dan mengambil keputusan untuk bernikah pada November 2021," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Jabi, Binjal di sini.

Nur Arelya dan Mohamed sentiasa meluangkan masa bersama dalam apa jua aktiviti seharian.
Nur Arelya dan Mohamed sentiasa meluangkan masa bersama dalam apa jua aktiviti seharian.

Menurut peniaga kosmetik itu, sikap penyabar, memahami yang ditunjukkan oleh Mohamed menyebabkan dia tertarik untuk berkongsi kasih.

Tambah Nur Arelya, pada awalnya ramai terkejut dengan keputusan 'berani mati' untuk berkahwin dengan bekas pesara Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu yang sudah berusia 59 tahun.

"Ketika itu usia saya 21 tahun dan ramai yang kurang bersetuju dengan keputusan tersebut," katanya.

Nur Arelya berkata, jodoh mereka sungguh kuat apabila berjaya menempuh alam berumah tangga dan usia perkahwinan sudah menginjak ke tahun ketiga.

"Alhamdulillah, sepanjang hidup bersama, kami tidak pernah bergaduh malah kasih sayang yang diberikan oleh suami membuatkan saya terlupa tentang perbezaan umur yang ketara.

"Kami juga saling menjaga antara satu sama lain. Suami menghidap diabetes manakala saya adalah pesakit bipolar dan tidak boleh tinggal berseorangan terutama dalam gelap," katanya.

Mohamed sentiasa memanjakan dan menyuap makan kepada Nur Arelya.
Mohamed sentiasa memanjakan dan menyuap makan kepada Nur Arelya.

Kata Nur Arelya, Mohamed seorang suami yang baik walaupun sudah di peringkat warga emas tetapi dia memahami jiwa isteri yang masih muda.

Sementara itu, Mohamed berkata, dia tidak terfikir untuk mencari pengganti selepas kematian isteri.

Bapa kepada lima orang anak itu memberitahu, dia bersyukur selepas dipertemukan dengan isteri yang sudi menerimanya walaupun sudah berusia dan yakin Nur Arelya dapat menjaganya sehingga akhir hayat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!