Isu kalimah ALLAH tak wajar dibincang secara terbuka - PM

Anwar berucap pada Majlis Muzakarah dan Umara sempena Festival Turath Islami Selangor 2023 pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Muzakarah dan Umara sempena Festival Turath Islami Selangor 2023 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kalimah ALLAH tidak wajar dibincang serta dibahaskan secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan kepada penganut agama Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan menarik balik semula rayuan terhadap penggunaan kalimah ALLAH dan tiga perkataan lain iaitu Kaabah, Baitullah dan solat dibuat selepas isu tersebut dirujuk kepada mufti-mufti serta Raja-Raja Melayu.

Menurut beliau, isu tersebut sudah beberapa kali dijelaskan termasuk ketika di dalam Parlimen mengenai penggunaan kalimah ALLAH yang dikhaskan kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.

“Maksudnya, umat Islam di Semenanjung Tanah Melayu sahaja boleh gunakan kalimah ALLAH untuk mengelakkan kekeliruan dan masalah dakyah agama lain, maka agama lain tidak diizinkan.

"Kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak timbul kekeliruan.

“Kalimah ALLAH boleh dibahas, tetapi dalam majlis tertutup. Tidak patut mengelirukan umat, namun kita masih dituduh menggadaikan dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di Shah Alam di sini pada Khamis.

Hadir sama, bekas Mufti Agung Mesir, Profesor Dr Ali Jum’ah serta Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa, Yaman, Habib Umar Hafidz.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui pemberita pula meminta golongan ulama agar berani dan ikhlas untuk membuat teguran demi mengangkat martabat umat Islam dan negara.

Beliau berkata, pemimpin pula perlu mendengar dan menerima teguran ulama serta menjawabnya dengan baik.

"Ini tiada perbezaan pendapat iaitu ulama boleh tegur dengan baik, menghormati dan mendampingi dan ditekankan kedua-dua ulama (bekas Mufti Agung Mesir, Profesor Dr Ali Jum’ah serta Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa, Yaman, Habib Umar Hafidz).

"Ulama bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum. Bila pimpinan mendengar ulama bercakap dengan ikhlas, berani menegur dan diterima dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!