HAWANA 2023 dukung konsep selari dengan Malaysia Madani
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Muhammad Razman Abu Samah berkata, sambutan HAWANA perlu dilaksanakan untuk memberi penghargaan kepada pengamal media dan industri kewartawanan di seluruh dunia khususnya di Malaysia.
"Ini memandangkan fungsi dan peranan pengamal media penting dalam menyebarkan maklumat yang tepat serta sahih dengan ketetapan masa yang dikehendaki," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan sebagai rakan strategik bagi penganjuran HAWANA 2023 kepada Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) D. Arul Rajoo dan Ketua Perancangan Strategik Bernama Nur-ul Afida Kamaludin di KPKT di sini pada Khamis.
Sambutan HAWANA 2023 yang merupakan penganjuran kali ketiga itu, bakal berlangsung di Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei dengan tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ dengan memberi penekanan semula kepada isu kebebasan media dalam menjalankan tugas.
Sambutan akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti forum media melibatkan wartawan dari negara ASEAN, karnival mini dan pertandingan mencari harta karun.
Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.
Muhammad Razman berkata, sumbangan pengamal media penting untuk mendukung aspirasi KPKT dalam segala usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemampanan bandar.
"Peranan mereka untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan benar amat penting untuk memastikan segala maklumat dan dasar kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat terutama di kawasan pedalaman," katanya KPKT sentiasa menghargai jasa wartawan. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!