DUN Sabah: Hajiji bentang pinda RUU larangan ADUN lompat parti

Hajiji membentang RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 pada sidang DUN Sabah.
Hajiji membentang RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 pada sidang DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mencadang untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 bagi larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti.

Dalam pembentangannya menerusi sidang DUN pada Khamis, beliau menyatakan bahawa tindakan bertukar parti atau lompat parti ADUN di negeri ini sering berlaku dan menyebabkan ketidakstabilan politik yang seterusnya mengganggu perancangan pembangunan di negeri ini.

"Kerajaan memandang serius tindakan lompat parti yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

"Ini kerana ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di DUN," katanya.

Tambah ADUN Sulaman itu lagi, parameter penggubalan RUU itu antaranya ialah peruntukan larangan ADUN bertukar parti ini tidak akan terpakai secara retrospektif dan pelaksanaan Enakmen akan bermula dari tarikh kuat kuasa Enakmen.

"ADUN yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi ADUN.

"Keanggotaan seorang ADUN merujuk kepada keanggotaan dalam sebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak," katanya.

Hajiji berkata, selain itu keanggotaan seorang ADUN juga merujuk kepada seorang Ahli Dewan Undangan yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu.

Katanya, keanggotaan ADUN dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan undang-undang ini adalah keahlian seorang ADUN dalam suatu parti politik.

"Penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam RUU berkaitan dengan larangan ADUN bertukar parti dan mana-mana ADUN yang bertukar parti politik atau mana-mana ADUN yang meninggalkan parti politik untuk menjadi ADUN bebas akan terhenti menjadi ADUN perlu mengosongkan kerusi," katanya.

Bagaimanapun, dalam pembentangannya turut menyatakan pengecualian terhadap larangan ADUN bertukar parti iaitu ADUN tidak terhenti menjadi ADUN sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

"Selain itu, pelepasan keanggotaan ADUN daripada parti politik apabila dipilih menjadi Speaker DUN tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi ADUN. Dalam erti kata lain, perkara ini tidak akan menyebabkan Speaker kehilangan kerusinya di DUN.

"Pemecatan ADUN daripada keanggotaan dalam parti politik tidak akan menyebabkan kekosongan kerusi ADUN itu," katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, selaras dengan perkara itu, RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 ini mengandungi lima fasal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!