Azeem harap keajaiban
PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi 'berperang' dengan masa menjelang saingan suku akhir 100 meter (m) Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Florida, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Terdahulu, Azeem yang dibelenggu masalah kecederaan pangkal paha berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga pelari terpantas di peringkat saringan dengan catatan masa 10.21 saat (s).
Namun, Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan menyedari kondisinya tidak berada pada tahap terbaik selepas menamatkan larian di Stadium Hodges, Jacksonville itu.
“Sebelum ini saya tak pasti dapat lari atau tidak sebab kecederaan. Sebab itu juga saya tak berlatih selama lima hari kerana beri fokus untuk proses pemulihan.
“Ketika saya membuat warm-up pun masih berasa sakit tetapi Alhamdulillah dapat juga berlari hari ini (Khamis) dan layak ke pusingan seterusnya (suku akhir).
“Cuma sekarang saya bimbang tak sempat (beraksi di peringkat suku akhir). Harap keajaiban berlaku dan dipermudahkan urusan saya,” katanya semalam.
Difahamkan, Azeem yang mewakili Universiti Auburn terpaksa menerima rawatan dan membalut bungkusan ais di bahagian pangkal paha kanan selepas tamat perlumbaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!