Reaksi Permaisuri Selangor keliru cuit hati netizen
SHAH ALAM - Reaksi keliru Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin apabila melihat sepasang kembar yang mengambil skrol akademik sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-96 mencuit hati netizen.
Menerusi video daripada akaun TikTok @Nazmiramli, pasangan kembar dengan tertera nama Syazwana Mohd Nazman dan Syazwani Mohd Nazman dilihat bersahaja naik ke pentas untuk mengambil skrol mereka.
Dalam video tersebut, baginda yang terkejut dan keliru selepas melihat dua orang yang mempunyai wajah seiras sehingga terpaksa berpaling untuk memeriksa semula graduan itu.
Namun, setelah menyedari mereka merupakan pasangan kembar baginda tersenyum selepas menyedari perkara itu.
Video tersebut telah ditonton sebanyak 130,300 oleh pengguna aplikasi itu dan turut menerima 391 komen yang rata-rata terhibur dengan reaksi spontan baginda.
Sementara itu, Aisyalien berpendapat Tengku Permaisuri Selangor keliru apabila melihat dua orang berwajah seiras mengambil skrol pada waktu yang sama.
"Permaisuri menyangka telah terperangkap dengan gelung masa bila lihat orang yang sama ambil skrol," ujar pengguna TikTok itu.
Bagi, Annes Nadia, reaksi baginda begitu comel sehingga membuat netizen terhibur.
"Nasib baik tudung berbeza.Kalau sama mesti Tengku Permaisuri Selangor tenung lagi lama. Comel betul," katanya.
Pada majlis istiadat itu, seramai 24,713 graduan telah menerima penganugerahan ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil profesional dalam bidang masing-masing di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam yang berlangsung selama 15 hari sehingga 3 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!