‘Bilik Gelap’ papar pendedahan eksklusif, kronologi kes berprofil tinggi

Zamri. Poster 'Bilik Gelap' yang bakal bersiaran pada Jumaat ini.
Zamri. Poster 'Bilik Gelap' yang bakal bersiaran pada Jumaat ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Harian menerusi program baharu bertajuk ‘Bilik Gelap’ memaparkan kronologi kes-kes sensasi, tragik dan berprofil tinggi yang pernah mendapat perhatian dan liputan meluas di negara ini.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, program yang bersiaran di semua platform Sinar Harian pada Jumaat itu bakal memukau penonton dengan pendedahan eksklusif mangsa atau bekas pesalah yang pernah terlibat dengan jenayah untuk menceritakan kembali kesalahan yang pernah dilakukan.

“Diceritakan semula berdasarkan kisah benar. Kandungan program Bilik Gelap yang disiarkan itu bertujuan untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada masyarakat di negara ini.

“Setiap episod tertumpu kepada kes tertentu seperti syariah, kes bertaraf antarabangsa dan siasatan jenayah yang telah selesai,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bilik Gelap bakal bersiaran sebulan sekali pada Jumaat jam 10 malam.

Dalam pada itu, Zamri berkata, konsep program Bilik Gelap ini adalah berbentuk wawancara, di mana tetamu akan diberikan topeng berwarna putih untuk dipakai.

“Topeng itu merupakan identiti Bilik Gelap. Maklumat dan identiti tetamu itu dirahsiakan serta suara mereka pun diubah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cabaran dalam menghasilkan laporan Bilik Gelap, menurut Zambri, pihaknya sukar mendapat kerjasama daripada beberapa individu yang mana ada antara mereka dihubungi masih berada dalam keadaan trauma, malu dan tidak yakin terhadap diri sendiri.

“Tapi, masih ada individu juga yang berani tampil dedahkan pengakuan eksklusif di Bilik Gelap ini dengan tujuan untuk menyedarkan masyarakat.

“Penonton boleh menyaksikan Bilik Gelap menerusi semua platform media sosial Sinar Harian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!