Anggota Maritim ditemui selepas 17 jam hilang
LANGKAWI - Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Telaga Tujuh, Gunung Mat Chinchang di sini ditemui selamat selepas hampir 17 jam pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, anggota Maritim Malaysia Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) Maritim Malaysia Putrajaya, Mohd Ridhaudden Rosman, 32, itu ditemui pada jam 5 petang.
"Mangsa ditemui selamat pada jam 5 petang dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini mengenai kes kehilangan anggota Maritim Malaysia itu pada Khamis.
Sebelum ini, mangsa yang berada di Langkawi sempena penugasan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) dipercayai mendaki sendiri sebelum dilaporkan hilang pada jam 12.47 tengah malam.
Shariman berkata, motosikal yang digunakan Mohd Ridhaudden kemudiannya didapati masih berada di kawasan letak kereta Telaga Tujuh, di sini.
Katanya, mangsa memuat status di media sosial buat kali terakhir bahawa dirinya telah tiba di puncak Telaga Tujuh lebih kurang jam 4.45 petang Rabu dan berkomunikasi dengan isteri sekitar jam 5.15 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!