Pening punca Zii Jia tumbang
JAGUH perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia gagal melangkah ke suku akhir Masters Malaysia 2023 apabila tewas 19-21, 21-16, 15-21 kepada pemain Taiwan, Lin Chun-Yi pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Kegagalan Zii Jia itu agak mengejutkan selepas dia tampil cemerlang ketika membantu Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China minggu.
"Semua orang dapat lihat dia (Zii Jia) kurang cergas hari ini. Dia bukan demam tetapi pening ketika beraksi tadi sehingga tidak dapat menghadiri sidang media.
"Sejak beberapa hari lalu, dia sudah berasa tidak selesa. Kami hanya bagi makan panadol tetapi malangnya dia masih tidak boleh tahan.
"Saya minta maaf kepada semua (pihak media) kerana menunggu. Itu sebabnya saya menggantikan tempatnya," kata kakak Zii Jia, Lee Zii Yii kepada pemberita.
Peminat badminton tempatan kini sekali lagi terpaksa akur melihat kegagalan bekas juara Asia yang menduduki ranking ke-10 dunia itu di laman sendiri tahun ini.
Pada Terbuka Malaysia 2023 Januari lalu, Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama apabila tumbang di tangan pemain Jepun, Kodai Naraoka.
Mengulas lanjut, Zii Yii berkata, dia dan pengurusan Team LZJ akan memantau kondisi Zii Jia sebelum kembali beraksi pada Terbuka Singapura minggu depan.
"Saya harap dia akan kembali cergas seperti biasa apabila mendapat rehat beberapa hari ini. Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuknya," jelas Zii Yii.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!