Budak lima tahun maut digilis lori
MELAKA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut digilis lori di Kampung Paya Mengkuang Batang Tiga di sini pada petang Khamis.
Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dipercayai bermain bersama saudaranya di kawasan berhampiran tempat kejadian.
Menurutnya, dalam masa sama sebuah lori jenis Daihatsu Delta yang dipandu lelaki berusia 37 tahun ingin keluar simpang.
"Bagaimanapun mangsa dipercayai secara tiba-tiba keluar dari arah celah pokok dan berlari ke arah lori yang sedang bergerak.
"Akibatnya pemandu lori tidak perasan kehadiran mangsa lalu terlanggar sebelum menggilisnya.
"Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!