Masters Malaysia: Aaron-Wooi Yik ketuai kemaraan 3 beregu lelaki

Aaron dan Wooi Yik meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Aaron dan Wooi Yik meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan momentum positif apabila layak ke suku akhir Masters Malaysia 2023 selepas menyingkirkan gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho hari ini.

Dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan tidak berdepan banyak masalah untuk meraih kemenangan 21-19, 21-14.

"Hari ini kami lebih bersedia kerana baru bermain di Piala Sudirman (minggu lalu). Lawan kali ini memang 50-50 dan memang sengit pada set pertama.

"Bagi saya, siapa yang menang (set pertama), itu satu kelebihan untuk memasuki set kedua. Corak permainan kami juga baik dan sentiasa menyerang.

"Saya harap dapat mengekalkan momentum itu (pada perlawanan seterusnya)," kata Wooi Yik kepada pemberita selepas perlawanan.

Dalam aksi suku akhir pada Jumaat, Aaron-Wooi Yik dijadual bertemu sama ada pilihan kelapan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin atau gandingan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong.

Turut mengikuti jejak Aaron-Wooi Yik adalah beregu muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan gandingan dari Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 19-21, 21-16, 21-13.

Wei Chong-Kai Wun dijadual bertemu sama ada pilihan ketiga dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang menumpaskan beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-17, 21-14.

Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut menempah tiket suku akhir selepas menewaskan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 15-21, 21-12, 21-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!