Young Tigers lepasi halangan Bangladesh

Antara aksi menarik perlawanan Young Tigers menentang Bangladesh dalam saingan Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023 pada Khamis.
Antara aksi menarik perlawanan Young Tigers menentang Bangladesh dalam saingan Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023 pada Khamis.
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara meneruskan rentak cemerlang Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023 apabila membelasah Bangladesh, 5-1 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman pada Khamis.

Tampil dengan misi mengekalkan rentak kemenangan selepas menang bergaya 8-1 ke atas Uzbekistan sebelum ini, anak buah Muhamad Amin Rahim bermula garang dengan gol padang Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit kelapan.

Gol itu ternyata menyemarakan semangat pemain The Young Tigers apabila melebarkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti Shahmie Irfan Suhaimi pada minit ke-13 dan Muhammad Syamim Naim Abd Hamid (m-15).

Bangladesh yang cuba bangkit menyaingi skuad muda negara akhirnya berjaya mengurangkan defisit dengan gol pukulan sudut penalti Abdullah minit ke-37.

Bagaimanapun Bangladesh terpaksa akur kemantapan jentera penyudah lawan apabila Shahmie Irfan sekali lagi meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti minit ke-43 dan 59 sekaligus hatrik untuk kemenangan 5-1.

Sementara itu, Muhamad Amin memuji barisan pemainnya yang kekal berdisiplin sepanjang 60 minit perlawanan apabila mengikut setiap perancangan pasukan.

“Ini hasil yang berjaya diraih apabila pemain kekal berdisiplin. Kami mendapat tujuh kelebihan pukulan sudut penalti sepanjang perlawanan dan menjaringkan tiga gol menerusi flik terus serta satu gol susulan dan ia merupakan satu peratusan yang amat baik.

“Dari segi perlaksanaan pukulan sudut penalti hari ini, pemain telah melakukan tugas dengan baik selain Shahmie Irfan Suhaimi juga melakukan tugasnya dengan baik dan saya berharap momentum perlaksanaan pukulan sudut penalti ini akan kekal hingga tamat kejohanan.

“Bagaimanapun kami melepaskan satu gol dan saya boleh katakan ianya ekoran daripada kurangnya konsentrasi serta pemain terbawa-bawa dengan keputusan pengadil yang tidak memihak kepada pasukan," katanya yang berharap pemain-pemain Young Tigers mengambil pengalaman dari perlawanan itu untuk tidak terkesan sebarang keputusan pengadil.

Tambah Muhamad Amin lagi, “Esok kami mempunyai satu hari rehat dan pemain perlu melakukan semua proses pemulihan dengan betul serta kami akan melakukan video analisa untuk melihat kembali perkara yang baik yang dilakukan hari ini dan kesilapan yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan dengan Korea.

“Untuk pertemuan dengan Korea, kami telah melihat beberapa kekuatan mereka di mana pukulan sudut penalti mereka agak baik jadi kami perlu berikan tumpuan sepenuhnya untuk tidak memberikan pukulan sudut penalti kepada mereka. Sudah tentu kami akan turun dengan satu taktikal yang berlainan apabila bertemu Korea.”

Piala Remaja Asia 2023

Kumpulan B

SABTU (27 MEI)

Malaysia lwn Korea Selatan, 1 petang

SELASA (30 MEI)

Malaysia lwn Oman, 12.30 tengah malam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!