Kajian Merdeka Center: Penunjuk penting PH nilai prestasi semula
KOTA BHARU - Hasil kajian Merdeka Center mengenai kemerosotan sokongan kepada kerajaan memberikan satu indikator atau penunjuk penting dalam menilai semula prestasi mereka selepas setahun mengambil alih pentadbiran negara.
Penganalisis Politik, Dr Suhaimee Sahar berkata, langkah pemulihan yang dilakukan oleh kerajaan memerlukan masa yang agak lama untuk direalisasikan.
"Ini perlu diterjemahkan melalui usaha komunikasi strategik yang memfokuskan kepada pengurusan komunikasi yang lebih efisyen dalam menyakinkan semula rakyat ketika ini.
"Malah kenyataan-kenyataan yang diberikan mestilah bernas dan positif dengan mengambil kira bahawa politik pembangkang dalam kalangan ahli-ahli menteri perlu diketepikan dalam menjamin satu hubungan positif bersama rakyat tidak kira sama ada dalam bentuk digital dan bukan digital," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, aspek pemasaran komunikasi politik digital perlu diambil kira dalam berdepan dengan isu-isu hari terutamanya di zaman serba canggih masa kini.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu lebih peka dengan keresahan dalam kalangan rakyat terutamanya aspek ekonomi dan juga kos sara hidup yang semakin tidak konsisten hingga menjejaskan kehidupan.
"Dasar baharu melalui penjenamaan atau pun pembinaan dalam bentuk penambahbaikan perlulah dijadikan keutamaan dalam mengurangkan keresahan sedia ada.
"Pendekatan 'political disruptive' yang sedia ada ini perlu dihentikan dengan memberikan fokus kepada usaha-usaha konsolidasi dan reformasi yang tersusun dalam menyusunkan semula pentadbiran negara.
"Aspek organik politik perlu difokuskan dalam mendidik masyarakat terutamanya generasi milenia dalam menghadapi situasi politik hari ini tanpa mengenepikan aspek yang telah termaktub dalam perlembagaan dan rukun negara.
"Dalam meningkatkan semula keyakinan rakyat beberapa langkah yang pernah diambil dan sedang diambil perlu memberikan penekanan kepada aspek produktiviti dalam semua aspek kehidupan.
"Empat tahun ini keadaan akan dipengaruhi oleh beberapa faktor yang boleh mempengaruhi graf sokongan. Naik turun tahap sokongan adalah satu perkara yang normal kerana wujud beberapa elemen di luar kawalan yang mempengaruhi perkara ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PKR terima baik hasil kajian Merdeka Center
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!