Seorang lagi pendaki hilang di Everest
KATHMANDU - Seorang pendaki solo warga Hungary dilaporkan hilang selepas terputus hubungan ketika berada di laluan tirus Hillary Step yang terletak antara South Col dan puncak Gunung Everest.
Menurut penganjur ekspedisi, Suhajda Szilard gagal dikesan sejak Rabu dan dipercayai cuba menawan puncak tertinggi dunia itu secara bersendirian tanpa bekalan oksigen dan bantuan malim gunung.
"Lokasi terakahirnya adalah di Hillary step pada ketinggian 8,700 meter berdasarkan isyarat GPS (penentu kedudukan sejagat) dan tiada lagi isyarat selepas itu," kata Pengurus Besar Seven Summit Treks, Thaneswar Guragai.
Tambah Guragai, pada musim pendakian lalu, Szilard telah melakukan pendakian gaya alpine yang memerlukan peralatan teknikal di Gunung Lhotse, Gunung K2 dan Broad Peak.
"Cuma kali ini dia meminta sedikit bantuan terutama apabila berada di EBC (Base Camp Gunung Everest)," ujarnya.
Guragai memaklumkan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan kedudukan Szilard namun cuaca buruk telah menjejaskan usaha operasi dan menyelamat (SAR). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!