PBT digesa sedia prosedur jelas operasi tangkap anjing liar - Rara
BENTONG - Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di dalam negara mengeluarkan garis panduan yang jelas berkaitan prosedur mengendalikan operasi tangkapan anjing liar dengan kadar yang segera.
Menurutnya, ia bagi menggelakkan kejadian tidak diingini seperti perselisihan faham yang boleh membawa kepada kejadian yang lebih teruk dan pergelutan berlaku antara penguat kuasa PBT dengan penduduk ataupun individu yang memberi makan kepada anjing-anjing liar.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai insiden seorang warga emas yang telah meninggal dunia ketika satu operasi tangkapan anjing liar dilakukan di Taman Saga Bentong pada Rabu.
"Saya telah menziarahi keluarga mendiang warga emas tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada mereka.
"Saya tidak berhasrat untuk mengulas lanjut mengenai insiden yang berlaku. Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Majlis Perbandaran Bentong akan mengeluarkan kenyataan berkaitan insiden yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada tengah malam Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak media memberikan ruang kepada keluarga mendiang dan menghentikan spekulasi mengenai kejadian yang berlaku.
Sebelum itu, laporan media sebuah portal berita tempatan, difahamkan warga emas tersebut, Huang Yunhong, 85, cuba menghentikan tindakan anggota penguat kuasa majlis yang mengambil anjingnya yang berada di luar rumah.
Mangsa dipercayai pengsan secara tiba-tiba lalu terjatuh ke dalam longkang sebelum dilaporkan meninggal dunia beberapa minit kemudian.
Dalam laporan portal tersebut itu juga memberitahu bahawa warga emas terbabit tinggal bersendirian dengan anjingnya manakala anak-anaknya tinggal di Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!