Hawana: Pemeriksaan mata percuma untuk pengamal media

Orang awam berjalan melepasi gegantung sambutan Hawana 2023 ketika tinjauan Bernama di sekitar Meru Raya, Ipoh hari ini. - Foto Bernama
Orang awam berjalan melepasi gegantung sambutan Hawana 2023 ketika tinjauan Bernama di sekitar Meru Raya, Ipoh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023, Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak mengadakan program pemeriksaan mata percuma untuk pengamal media di Perak.

Pengerusi projek, K Nachemutu yang juga setiausaha persatuan berkata, ia sebagai menghargai warga media yang berkhidmat demi kepentingan dan pembangunan negara.

Nachemutu berkata, penjagaan mata amat penting khususnya pengamal media memandangkan kini boleh dikatakan semua kerja dalam melaporkan laporan berita menggunakan telefon pintar.

"Pemeriksaan mata ini akan mengesan penyakit, kecederaan dan gangguan berkaitan dengan mata iaitu apabila sebarang penyakit dikesan, pakar mata akan berikan nasihat dan rawatan susulan yang perlu diambil.

"Warga media juga boleh mendapatkan potongan harga istimewa untuk membuat cermin mata jika mereka perlu menggunakan alat itu selepas pemeriksaan mata dijalankan dan terdapat rabun pada mata," katanya kepada Bernama di sini.

Nachemutu berkata, program itu akan dijalankan pada 29 Mei di tingkat atas Wisma Psemi, No. 12 Medan Istana 5, Bandar Ipoh Raya bermula 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.

"Beberapa pakar mata akan terlibat sebagai penasihat untuk projek ini dan selain pemeriksaan mata kita juga tawarkan pemeriksaan telinga.

"Kebiasaannya pemeriksaan telinga kita buat di klinik ataupun hospital kerajaan tetapi sempena HAWANA 2023 kita sediakan juga perkhidmatan pemeriksaan telinga dan kita harap pengamal media di Perak akan rebut peluang ini," katanya.

Persatuan Kebajikan Amal Makmur sebelum ini telah menganjurkan siri pemeriksaan mata percuma kepada lebih 8, 300 pelajar daripada 40 buah sekolah di Perak.

Program kemasyarakatan dengan kerjasama daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Kelab Rotary, Kelab Lions dan sumbangan perseorangan itu menyasarkan 10,000 orang pelajar menjalani pemeriksaan mata tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!