Sumbat 18 PATI warga Myanmar dalam van
KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan seorang lelaki disyaki sebagai tekong yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia ketika Ops Taring Wawasan di Tumpat pada Khamis.
Dalam operasi sama, seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk lima wanita ditemui berada dalam keadaan berhimpit dalam sebuah van.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamad Zaki Harun berkata, ketika kejadian pada jam 7.15 malam itu, sepasukan anggota Strike Force Kompeni C Batalion 9, Pasukan Gerakan Am sedang menjalankan pemantauan dan intipan di lorong belakang Sekolah Kebangsaan Sri Neting, Tumpat mendapati sebuah van putih dalam keadaan mencurigakan dinaiki dua lelaki menuju ke Jalan Pak Keral.
"Melalui bantuan Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, van berkenaan berjaya ditahan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan, Jalan Bunut Sarang Burung, Tumpat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, dua lelaki terbabit kemudiannya meluru keluar dari van dan salah seorang daripada mereka melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
"Bagaimanapun seorang lagi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota bertugas," katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan di dalam van menemui warga Myanmar yang tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan disyaki memasuki negara ini dari Thailand.
"Kesemua rampasan bernilai RM31,000 dan tangkapan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1963," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!