Tiga 'juruterbang' cilik muncul di LIMA'23
LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Kecomelan tiga beradik yang muncul bergaya dengan pakaian seragam anggota tentera udara pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) menarik perhatian pengunjung tempatan dan antarabangsa di pameran dwitahunan itu.
Muhammad Faiq Mohamad Faizal, 12; Muhammad Qais, 8; dan Muhammad Qaid, 4; masing-masing bercita-cita sama untuk menjadi juruterbang, mengikuti langkah bapa mereka, Mohamad Faizal Abd Aziz, 40, yang merupakan juruterbang MD503 Pasukan Udara Tentera Darat.
Mohamad Faizal merupakan seorang daripada anggota pasukan aerobatik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat pertunjukan udara sepanjang LIMA ‘23 yang bermula Selasa.
Ketika ditemui Bernama di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Muhammad Qais, anak ketiga daripada empat beradik memasang impian untuk membawa pesawat F-117A Nighthawk atau lebih dikenali ‘Black Jet’.
“Besar nanti saya nak jadi juruterbang pesawat penggempur sebab boleh bawa jet pejuang kerana pesawat itu laju. Saya teringin bawa Black Jet sebab ayah kata (pesawat) itu bagus,” katanya yang teruja melihat pertunjukan udara pada LIMA ‘23 yang mula dibuka kepada orang awam hari ini.
Sementara itu anak sulung, Muhammad Faiq berkata, selain mahu menjadi juruterbang, dia juga menyatakan hasrat untuk menjadi pakar senjata dan aset ketenteraan kerana sering melihatnya melalui permainan video.
Ibu mereka, Yuzaini Mohamad, 38, berkata, tujuannya membawa ketiga-tiga anak memakai uniform itu sebagai memberi sokongan kepada suami yang membuat persembahan udara selain dorongan buat mereka untuk mencapai cita-cita menjadi juruterbang.
“Suami yang beli uniform mereka bertiga di Amerika Syarikat dan kami sekeluarga datang hari ini untuk memberi sokongan dan melihat sendiri persembahan udara daripada bapa mereka dan dia sendiri mahu anak-anak melihat kerjayanya,” katanya yang tiba dari Kluang, Johor semalam.
Yuzaini yang merupakan suri rumah berkongsi bahawa suaminya mula menjalani latihan sejak tiga minggu lepas termasuk ketika hujung minggu untuk memastikan kejayaan membuat pertunjukan udara pada LIMA '23.
Orang ramai yang ingin mengunjungi LIMA ‘23 yang kini berbaki satu hari boleh hadir di MIEC esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!