Wei Chong-Kai Wun tewaskan 'The Daddies', layak ke separuh akhir
PASANGAN beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mencatatkan kejayaan peribadi tersendiri mereka selepas mengejutkan bekas juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, pada suku akhir Masters Malaysia 2023, di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada set pertama, kedua-dua Wei Chong-Kai Wun dan Mohammad Ahsan-Hendra yang merupakan pilihan ketiga kejohanan, bersaingan sengit sehingga terikat 21-21, sebelum pasangan Malaysia berjaya untuk menang, 23-21.
Set kedua yang juga sengit antara kedua pasangan itu, membuatkan penonton tidak senang duduk terutamanya ketika kedua mereka terikat 16-16.
Bagaimanapun akhirnya, pasangan Wei Chong-Kai Wun yang bukan pasangan pilihan kejohanan, ternyata lebih bernasib baik apabila pukulan smesy Hendra tersangkut di jaring, yang membolehkan pasangan Malaysia itu menang 21-17, sekali gus layak ke separuh akhir.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Kai Wun berkata, kemenangan hari ini yang juga merupakan kemenangan terbesar sepanjang karier mereka setakat ini, telah meningkatkan keyakinan mereka untuk menentang pasangan terbaik seterusnya.
Sementara itu, Wei Chong benar-benar gembira atas kejayaan mereka menewaskan beregu dari Indonesia yang lebih bagus dan berpengalaman, menyebabkan mereka merasakan lawan mereka itu sukar untuk ditewaskan.Dalam pada itu, Mohammad Ahsan berkata mereka redha dengan kekalahan itu dan mengakui Wei Chong-Kai Wun jelas bermain dengan lebih baik hari ini.
Hendra pula menasihatkan pasangan Malaysia untuk tidak terbawa-bawa dan cepat berpuas hati dengan kemenangan menakjubkan mereka itu, kerana perjalanan mereka dalam badminton masih jauh.
Keputusan hari ini juga bermakna Wei Chong-Kai Wun berjaya membalas dendam terhadap pasangan yang dikenali sebagai The Daddies, selepas pasangan Indonesia itu menewaskan mereka pada pusingan kedua Terbuka Singapura 2022, 14-21, 15-21. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!