Agihan kerusi BN, PH dimuktamad hujung bulan ini - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agihan kerusi melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di enam negeri akan dimuktamadkan akhir bulan Mei.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, setakat ini, perbincangan bagi pengagihan kerusi antara kedua-duanya masih belum mempunyai kata putus.

“Perbincangan kerusi belum muktamad. Setakat ini di peringkat negeri diminta berbincang dan belum putus. Akan diketahui akhir bulan ini (Mei),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di sini pada Jumaat.

Menjawab persoalan berkenaan pengisian mesyuarat, beliau berkata, perbincangan tersebut melibatkan perancangan masa hadapan untuk memperkasakan parti.

Selain itu ujarnya, mesyuarat turut membincangkan mengenai perancangan parti bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pada 20 Mei lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan parti itu sudah menyenarai pendek calon yang bakal bertanding pada PRN.

Ahmad Zahid berkata, senarai itu hasil perbincangan yang dilakukan dengan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai akta lompat parti yang baharu diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Bung Moktar menyambut baik perkata tersebut.

“Kita memang menunggu akta ini dibentangkan sebab sebelum ini banyak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat. Jadi kita tidak mahu ADUN melompat lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!