Rebah ketika operasi anjing liar, mangsa disahkan mati mengejut

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

BENTONG - Polis mengesahkan kes seorang lelaki warga emas yang ditemui meninggal dunia di Taman Saga, Bentong pada Rabu lalu ketika operasi anjing liar sebagai kematian mengejut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, pihaknya telah menerima dua laporan mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, satu laporan diterima daripada petugas Majlis Perbandaran Bentong (MPB) yang merupakan seorang lelaki berusia 55 tahun pada hari sama berkaitan operasi anjing liar.

"Laporan itu juga berkaitan dengan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 79 tahun yang rebah berdekatan kawasan operasi terbabit.

"Satu lagi laporan pada hari sama dari seorang wanita warganegara tempatan berusia 53 tahun yang merupakan anak kepada mangsa dan dimaklumkan oleh jiran bapanya rebah dan pengsan di depan rumah," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar Zaiham, pihak polis telah merakam percakapan semua pengadu dan beberapa orang saksi.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan hasil bedah mendapati punca kematian adalah 'respiratory arrest secondary to acute exacerbation of chronic osbtructive pulmonary disease" dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," jelas Zaiham.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian tersebut dan tidak membuat apa-apa komen yang tidak sewajarnya dalam media sosial serta membangkitkan isu perkauman.

"Kita juga memohon mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!