IWK tumpu cari sumber pendapatan alternatif

IWK
IWK
A
A
A
KUALA LUMPUR - Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sedang mencari alternatif lain dalam menjana sumber pendapatan.

Ketua Pegawai Operasinya, Ir. Mohd Haniffa Abdul Hamid berkata, selain melakukan rawatan air kumbahan, pihaknya juga menjual air yang telah dirawat kepada pihak industri.

“Sebagai contoh, di Port Dickson, air yang digunakan untuk menyiram pokok bunga ialah air yang telah dirawat dan kita lihat bunga-bunga yang tumbuh sangat subur dan wangi,” katanya, hari ini.

Selain itu, katanya, IWK juga sedang menuju ke arah menghasilkan tenaga elektrik daripada pepejal yang dihasilkan.

“Semua ini memerlukan teknologi dan kemahiran dan IWK telah diberikan pengiktirafan daripada pelbagai agensi termasuk Bank Dunia dalam sektor pengurusan pembentungan,” katanya.

Menurut Mohd Haniffa, terdapat lebih 7,000 loji kumbahan dibawah seliaan IWK bagi lebih 25 juta pengguna.

“Meskipun menghadapi peningkatan dari segi kos operasi, kami masih hanya mengenakan cas sebanyak RM8 sebulan kepada semua pengguna,” katanya.

Sementara itu, dari segi bayaran bil kumbahan, Putrajaya mendahului dengan 96 peratus, Kuala Lumpur (94 peratus) dan Pulau Pinang (91 peratus).

“Kita lihat sudah ada peningkatan kesedaran tentang pentingnya sistem rawatan kumbahan dan kita harap, ini akan berterusan di seluruh negara,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!