Media profesional kekang penyebaran berita palsu

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

MELAKA - Dengan era maklumat hanya di hujung jari terutama dengan perkembangan platform media sosial dewasa ini, profesionalisme dalam kalangan media memainkan peranan penting dalam mengekang penyebaran berita tidak tepat atau palsu.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee berkata media yang sentiasa mengamalkan sikap profesional akan memastikan maklumat disebarkan melalui berita dihasilkan itu adalah sentiasa benar seterusnya menjadikan media itu rujukan yang baik.

“Di mana tempatnya orang ramai hendak mengesahkan berita atau maklumat diterima sekiranya mereka tidak mempercayai media kerana media tidak profesional atau tiada kredibiliti? Dalam era teknologi membolehkan mesej palsu atau mengelirukan mudah disebar, kita harus pastikan laporan media benar dan tepat.

“Ini penting dalam mengekalkan kredibiliti media dan dengan era kemudahan teknologi ini semakin berkembang, adalah menjadi semakin penting bagi media mengekalkan profesionalisme dan mengelakkan laporan yang mengelirukan atau di luar konteks,” katanya kepada Bernama.

Pada 19 April lepas, Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) dilaporkan menzahirkan kebimbangan mendalam berhubung fenomena berita palsu yang melanda dunia media dan kini turut menjejaskan reputasi agensi berita.

Kerk berkata ramai yang beranggapan bahawa media hanya memainkan peranan selaku pelapor dan menerbitkan bahan untuk menyalurkan informasi, namun peranan media lebih daripada itu iaitu sebagai pihak yang mencorak pemikiran dan persepsi rakyat terhadap persekitarannya.

"Media main peranan sebagai orang tengah, sebagai orang yang membentuk fikiran masyarakat kita kerana apa yang kita baca setiap hari sama ada dalam surat khabar atau portal membentuk fikiran dan corak hidup kita, yang akan tentukan persepsi dan menentukan bagaimana anda melihat dunia ini,” katanya.

Beliau berkata ketika mula memegang tanggungjawab portfolio komunikasi dan multimedia negeri ini hampir setahun lepas, beliau melihat sememangnya terdapat kebimbangan dalam kalangan petugas media tentang kebebasan untuk melaporkan berita.

Artikel Berkaitan:

"Ada dalam kalangan petugas media yang berkongsi dengan saya pengalaman, kadangkala maklumat yang disekat dan dikawal pada masa dahulu...bagi menyokong kebebasan bersuara dan maklumat, kita mesti bebaskan media kita.

"Kita telah meninggalkan era 'saya yang menurut perintah'. Kerajaan tidak membatasi kebebasan akhbar. Saya nampak tiada limitasi atau kawalan terhadap apa yang boleh ditulis, pada saya suatu kemajuan untuk kebebasan media," katanya.

Kerk berkata beliau berharap suatu hari nanti negara mampu membentuk sebuah komuniti yang menghargai maklumat dan menghargai media sebagai sebuah medium perubahan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!