Gelanggang eksklusif ketengah isu kepenggunaan, sara hidup
SHAH ALAM - Selepas berehat sempena Aidilfitri, program Town Hall Rakyat kembali buat kali keempat dengan menampilkan seorang lagi menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, menteri ditampilkan kali ini sangat signifikan kerana sangat berkaitan dengan isu-isu rakyat.
“Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi tetamu keempat Town Hall Rakyat yang akan berlangsung pada Isnin ini, 29 Mei 2023 bermula jam 8.30 malam.
“Town Hall kali ini menjadi gelanggang terbaik untuk rakyat hadir dan mendekati Menteri KPDN,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas beliau, program yang turut disiarkan secara langsung dari Auditorium Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam itu merupakan kesinambungan daripada tiga program yang dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, sesi Town Hall Rakyat sebelum ini telah menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Untuk program kali keempat ini, penonton secara eksklusif boleh bertanya apa juga soalan berkaitan isu-isu kepenggunaan, keperluan barangan harian dan lain-lain kepada Salahuddin,” katanya.
Town Hall Rakyat Sinar Harian akan dihoskan oleh pelakon popular, Azhar Sulaiman dan ia adalah terbuka kepada orang ramai.
Ia juga boleh disaksikan secara langsung di www.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!