25 tan daging babi sejuk beku dari Australia dirampas
PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa masuk 24 tan daging babi sejuk beku bernilai RM180,000 dipercayai dari Australia di Pelabuhan Klang Barat pada Rabu lalu.
Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, daging babi terbabit dikesan menerusi pemeriksaan yang dijalankan melibatkan sebuah kontena.
"Pemeriksaan dijalankan mendapati kontena yang membawa dagangan daging babi sejuk beku itu tidak mematuhi syarat permit Import yang dikeluarkan oleh Maqis.
"Pengimport yang membawa dagangan itu gagal mempamerkan label loji penyembelihan yang diiktiraf pada bungkusan dagangan terbabit sepertimana yang dinyatakan di dalam syarat permit import yang diluluskan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Sobri berkata, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import Maqis menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta yang sama.
"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Maqis sentiasa memastikan produk keluaran pertanian yang diimport adalah daripada loji yang diiktiraf bagi memastikan sumber makanan yang dibawa masuk ke dalam negara adalah bebas dari segala risiko penyakit serta berkualiti tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!