Elak dicekup JAINJ, lelaki nekad terjun dari tingkat tiga hotel bajet

Lima pasangan kekasih warga tempatan berusia antara 18 hingga 43 tahun ditahan oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam Ops Banteras JAINJ sempena Hari Pekerja, malam tadi. - Foto Bernama
Lima pasangan kekasih warga tempatan berusia antara 18 hingga 43 tahun ditahan oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam Ops Banteras JAINJ sempena Hari Pekerja, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki nekad terjun dari tingkat tiga sebuah hotel bajet bagi meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa dalam Ops Banteras Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sempena Hari Pekerja, Isnin malam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata lelaki itu disyaki keluar melalui tingkap tandas yang dibukanya sendiri sebelum melarikan diri dan meninggalkan pasangannya di dalam bilik.

Beliau berkata ibu tunggal dan penjawat awam adalah antara lima pasangan kekasih rakyat tempatan berumur antara 18 dan 43 tahun yang ditahan dalam serbuan berasingan membabitkan 19 penguatkuasa bermula 10 malam hingga 12 malam di lima hotel bajet sekitar kawasan Perling dan Danga Bay, di sini.

Katanya ada pasangan yang ditahan itu mengakui kononnya mereka pasangan suami isteri, namun, setelah diperiksa menukar kenyataan bahawa mereka sudah bertunang.

"Kesemua mereka ditahan kerana berada di dalam satu bilik, disyaki melakukan khalwat dan mendatangkan syak bersama pasangan bukan mahram,” katanya kepada pemberita selepas Ops Banteras itu, malam tadi.

Turut menyertai operasi berkenaan, Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor Tosrin Jarvanthi.

Halid berkata, kesemua mereka ditahan tidak lebih 24 jam dan akan diikat jamin oleh waris.

"Kita juga akan merekodkan keterangan mereka sebelum diserahkan ke bahagian pendakwaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 27(1) a dan b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!