9,000 akaun SADA alami gangguan bekalan air Rabu ini
ALOR SETAR - Kira-kira 9,000 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) di tiga daerah di Kedah akan mengalami gangguan akibat penyelenggaraan cuci tangki mendapan pada Rabu ini.
Bahagian Perhubungan Awam Komunikasi Korporat Sada dalam satu kenyataan berkata, daerah yang akan terkesan adalah Pendang, Yan dan sebahagian Kota Setar.
Menurut kenyataan itu, bagi kawasan yang terjejas diminta bersedia kerana jangka masa gangguan adalah bermula jam 9 pagi sehinggalah kerja-kerja mencuci tangki mendapan dan agihan bekalan air selesai.
"Adalah dimaklumkan kepada semua pengguna bahawa akan berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan adalah disebabkan oleh pengurangan operasi Loji Rawatan Air Jenun Baru bagi memberi laluan kepada kerja-kerja cuci tangki mendapan nombor empat.
"Jenis gangguan adalah penyelenggaraan berjadual pada 31 Mei ini bermula jam 9 pagi dan 9,000 akaun SADA di tiga daerah di negeri ini akan terkesan," kata kenyataan pada Sabtu.
Antara kawasan yang terjejas adalah kilang petronas fertilizer, kilang nafas, Kampung Bukit Besar, Kampung Tualang, Yan Besar, Yan Kecil, Kota Sarang Semut, Jalan Batas Paip dan kawasan sekitar.
Tambah kenyataan itu, pengguna yang terlibat adalah dinasihatkan agar dapat membuat persediaan awal dengan menyimpan air dan menggunakannya dengan bijaksana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!