Musim kemarau punca durian Balik Pulau kurang 30 peratus
BALIK PULAU - Musim kemarau yang berpanjangan di negeri ini sejak beberapa bulan lalu menyebabkan pengeluaran durian Balik Pulau berkurangan 30 peratus pada musim ini berbanding tahun lalu.
Peniaga durian di Anjung Indah, Johan Abu Bakar, 39, berkata, tiada hujan yang cukup dan cuaca panas menyebabkan pokok durian terbantut untuk mengeluarkan buah kerana kekurangan air.
Menurutnya, pemilik dusun terpaksa menggunakan teknik semburan air ke atas pokok bagi mengekalkan kelembapan tanah bagi membantu pengeluaran bunga sekali gus mengeluarkan buah durian.
"Jika nak ikutkan, musim durian yang bermula awal Mei akan meriah tetapi disebabkan musim kemarau berpanjangan yang melanda negara, maka buah agak kurang. Ini kerana, pokok akan terbantut daripada mengeluarkan buah.
"Pemilik dusun terpaksa 'tembak air' menggunakan hos untuk membantu pokok-pokok durian ini berbunga sekali gus mengeluarkan buah," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Kata Johan, berikutan hujan mula ada di Pulau Pinang sejak minggu lalu, ia akan meningkatkan pengeluaran buah pada pucuk pokok yang sebelum ini tidak dapat berbuah kerana kemarau.
"Selalunya musim durian bermula Mei hingga Julai tetapi disebabkan hujan baru saja ada di Pulau Pinang, maka musim durian tahun ini dijangka lebih panjang iaitu sehingga Ogos.
"Sebenarnya pokok durian ini ada sensitifnya, ikut cuaca. Jika tiada hujan, bunga tak keluar sekali gus akan memberi kesan kepada pengeluaran buah. Tetapi jika sudah berbuah, ia sukar untuk luruh ketika waktu hujan kerana tangkainya kuat (kerana serap air). Durian akan luruh ketika cuaca panas," tambahnya.
Ketika ini, Musang King dijual antara lingkungan harga RM40 hingga RM50 sekilo, Udang Merah RM35, Kunyit RM28 hingga RM30, Durian 101 RM30 hingga RM35 dan Duri Hitam RM80 hingga RM90.
Johan yang sudah empat tahun membuka gerai durian bersama dua rakannya berkata, harga durian tidak naik terlalu mendadak walau pun kekurangan bekalan.
"Harga masih mampu milik, tidak lah melonjak terlalu tinggi. Insya-ALLAH sekarang dah musim hujan, buah akan banyak dan harga juga akan turun lagi.
"Selain itu, dijangka dua minggu akan datang, buah dari luar akan masuk, dari Pahang, Batu Kurau dan Kulim. Lambakan durian dari luar akan menyebabkan harga durian Balik Pulau akan turun, tetapi tak lah begitu banyak kerana rasa durian di sini lain, lebih sedap," katanya.
Sementara itu, tinjauan di sekitar Balik Pulau mendapati, peminat durian mula membeli raja buah itu terutamanya pada hujung minggu untuk dinikmati bersama keluarga.
Pesara, Lu Yon Set, 60 berkata, dia sanggup memandu dari Bukit Mertajam beberapa kali sepanjang musim durian semata-mata untuk menikmati buah itu bersama keluarganya.
"Satu keluarga saya peminat durian. Setiap tahun kami tidak sabar nak tunggu musim durian dan kami suka makan di gerai atau dusun kerana lebih 'fresh'. Kami sekeluarga suka Musang King kerana lemak, berkrim dan manis.
"Sepanjang musim durian, kami akan kerap ke Balik Pulau semata-mata nak makan durian di sini. Durian Balik Pulau ni unik, rasa dia lain. Lemak dan manis lain dari durian dari negeri lain. Selalunya saya akan berbelanja RM400 untuk sekali makan," katanya.
Warga China yang dikenali sebagai Ryan, 39, berkata, dia mula menggemari durian sejak rakannya memberi seulas kepadanya untuk dimakan.
"Memang pada mulanya saya bimbang nak rasa sebab baunya yang kuat, tetapi apabila mula rasa, saya jadi suka. Sejak lima tahun lalu bekerja di Malaysia, saya dah mula suka dan akan ke Balik Pulau untuk makan durian.
"Saya hanya makan Musang King dan boleh menghabiskan sebiji sekali makan. Sekarang saya bawa rakan dari Jerman pula untuk merasai kesedapan buah ini," katanya.
Rakan Ryan, Thomas dari Jerman yang berusia 40 tahun berkata, dia akan menjadi peminat durian selepas diperkenalkan Ryan.
"Rasanya manis dan berkrim, saya suka. Bagaimanapun, untuk pertama kali ini, saya kena minum air lebih banyak kerana rasa (durian) seperti melekat dalam mulut.
"Walaupun bau nya yang kuat, tetapi ia sedap selain rupa bentuk buah yang unik, berduri dan berkulit keras. Disebabkan ini juga, saya suka bekerja di Malaysia kerana mempunyai banyak makanan dan buah yang unik," katanya.
Dalam pada itu, ahli perniagaan, Siti Sarah Samsuri, 36, berkata, dia bersama keluarganya sanggup ke Balik Pulau dari Alor Setar semata-mata untuk menikmati durian kerana anak keduanya 'hantu durian'.
"Saya dan suami memang suka durian, turun ke anak kedua kami, dia sangat suka durian. Bagaimanapun, anak sulung tak suka. Disebabkan anak kedua sangat suka, kami sanggup ke Balik Pulau untuk menikmati durian di sini.
"Saya tidak kisah berbelanja lebih semata-mata untuk menikmati raja buah ini. Selalunya saya akan berbelanja kira-kira RM300 hingga RM400. Bukannya selalu ada, ia ikut musim. Apa salahnya berbelanja untuk kepuasan kami sekeluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!