Vivian mampu teruskan kesinambungan Parlimen Sandakan
SANDAKAN - Ahli Jawatankuasa DAP Lim Kit Siang yakin calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan Vivian Wong Shir Yee mampu memainkan peranan sebagai generasi muda untuk meneruskan kesinambungan usaha pembangunan bagi manfaat rakyat di kawasan parlimen itu.
Menurut beliau pada usia 30 tahun, Wong sudah mempunyai pengalaman dalam bidang politik ketika bekerja bersama mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt) ketika menjadi Anggota Parlimen Sandakan dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Katanya Wong juga pernah terlibat dalam aktiviti sosial di luar negara menerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan membantu golongan susah.
"Jika ada yang mengatakan Wong tiada pengalaman tidak benar dan peluang harus diberikan kepadanya untuk menjadi seorang ahli politik yang berkelibar dan membawa suara rakyat Sandakan ke Parlimen," katanya pada Ceramah Umum DAP di Taman Matahari di sini Selasa malam.
Hadir sama, Wong, Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon Ming Fung dan Setiausaha Publisiti DAP Sabah Phoong Jin Zhe.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata pemilihan Wong sebagai calon DAP di PRK Sandakan sejajar dengan pendirian DAP yang menampilkan calon muda agar suara orang muda diketengahkan dalam pembangunan negara.
Menurutnya Wong mampu meneruskan perjuangan mendiang bapanya dalam membangunkan kawasan Parlimen Sandakan khususnya yang mampu menjana ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Ini termasuklah tumpuan diberikan dalam pembangunan membabitkan pelancongan, pendidikan dan kesihatan, katanya.
Katanya kerajaan dibawah Pakatan Harapan telah memberikan komitmen untuk menghidupkan ekonomi daerah Sandakan antaranya projek pembesaran landasan Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 juta yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, baru-baru ini.
Projek ini sudah tentu akan meningkatkan jumlah pelancong dan memberi manfaat kepada tarikan pelancongan yang ada di daerah ini, kata Kit Siang.
Pada PRK Sandakan ini, Wong ditentang empat calon iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas, iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.
Hari pengundian awal PRK Sandakan diadakan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!