Media Sarawak mahu kebanjiran berita tidak sahih ditangani
IPOH - Kemunculan media tidak berdaftar yang menyebarkan berita tular menjadi cabaran buat pengamal media yang sah di Sarawak.
Timbalan Presiden 2 Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak, Nur Atiqah Abdullah mengakui kebanjiran maklumat tidak sahih disebabkan sebaran kejadian tular menyebabkan media berdaftar berdepan kesukaran menyaring kesahihan sesuatu berita.
Menurutnya, perkara ini dilihat perlu ditangani dengan segera kerana ia boleh mengancam kerjaya kewartawanan dan survival agensi media yang sah untuk menyalurkan berita tepat lagi sahih.
"Saya melihat isu ini perlu dipandang serius oleh Kementerian Komunikasi dan Digital untuk membuat pengawalan terutama media tidak berdaftar supaya maklumat yang ditularkan sahih sekali gus tidak mencetuskan kegusaran di dalam masyarakat.
"Kita akan bawa ketengah isu ini dan bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Digital bagi mencari penyelesaian terbaik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mini Karnival Sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Wartawan Cawangan Kuching, Ronnie Teo Teck Wei berkata, Hawana 2023 yang berlangsung di Ipoh ketika ini perlu dimanfaatkan untuk mencari solusi kepada masalah tersebut.
Menurutnya, pengamal media berdaftar perlu mematuhi etika yang ditetapkan sebaliknya pula pemberita media sosial yang tidak berdaftar hanya menularkan semua maklumat dirasakan boleh menarik perhatian pembaca tanpa memikirkan kebenaran maklumat tersebut.
Jelas Ronnie, pihaknya yakin isu tersebut bukan hanya berlaku di Sarawak tetapi pengalaman sama turut dirasai pengamal-pengamal media di negeri-negeri lain.
Nur Atiqah dan Ronnie merupakan sebahagian pempamer mewakili Media Sarawak di Mini Karnival sempena Hawana 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!