Gagasan ABC bina karakter disiplin, adab pelajar sekolah

Fadhlina ketika sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan di Kampung Sungai Duri, pada Sabtu. - Foto Bernama
Fadhlina ketika sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan di Kampung Sungai Duri, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Gagasan Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) adalah antara usaha Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan pembinaan karakter yang terkait rapat dengan disiplin, adab susila dan kesopanan yang menjadi teras kepada pelajar sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, konteks gagasan itu penting ekoran kebimbangan pihaknya melihat kepada isu buli yang turut berkait dengan kebejatan sosial dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.

"Saya akui kita ada kebimbangan melihat kepada isu buli dan sosial dalam kalangan pelajar tetapi saya fikir kita tidak pernah terlambat untuk membuat apa-apa tindakan dan di peringkat KPM, kita telah utarakan gagasan ABC, dan intervensi khususnya program pemulihan serta nasihat untuk betulkan anak-anak agar menjadi pelajar yang berdisiplin.

"Kita ada ruang dan proses bagi setiap aduan sama ada isu buli, moral atau apa sahaja ... gunakan saluran rasmi KPM dengan sebaiknya dan seluas-luasnya supaya kita boleh rekodkan aduan untuk tindakan susulan,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Sabri Said.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan akhbar berhubung Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Institut Kesihatan Umum: Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) 2022 yang mendedahkan 33 peratus remaja terlibat dalam aktiviti seksual sebelum mencapai umur 14 tahun.

Menerusi laporan itu, beberapa pakar dan ibu bapa meminta pihak KPM untuk mengambil tindakan segera berhubung pendidikan seks, sahsiah dan moral di sekolah dalam usaha mendidik pelajar berhubung perkara itu.

Fadhlina berkata, pembentukan sahsiah dalam kalangan pelajar juga memerlukan sokongan daripada seluruh ekosistem komuniti termasuk ibu bapa dan masyarakat, serta tidak menghukum anak-anak sewenang-wenangnya kerana mereka masih muda dan memerlukan dorongan untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Sementara itu, Fadhlina turut menegaskan KPM tidak berkompromi dengan masalah buli di sekolah dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta dalam masa yang sama pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman untuk tindakan seterusnya.

"Pesan saya mudah saja, ABC tidak akan mampu dilaksanakan tanpa sokongan dan dukungan semua pihak terutama ibu bapa, komuniti dan seluruh pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan, jadi kita harap isu ini dapat ditangani dengan baik dan berhemah dalam masyarakat," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!