Azeem hitung detik lebur rekod kebangsaan

Azeem dikhabarkan akan menyertai kejohanan Terbuka Malaysia pada Julai depan.
Azeem dikhabarkan akan menyertai kejohanan Terbuka Malaysia pada Julai depan.
A
A
A

ADAKAH peminat olahraga tanah air berpeluang menyaksikan pelari pecut muda sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi memperbaharui rekod kebangsaan 100 meter (m) miliknya di halaman sendiri?.

Terdapat kebarangkalian perkara tersebut berlaku apabila pelari berusia 19 tahun itu, yang sudah lima bulan berpangkalan di Amerika Syarikat mengesahkan akan kembali ke tanah air untuk bersaing dalam kejohanan Terbuka Malaysia pada Julai ini.

Apa yang lebih menarik, selepas mencipta catatan musim terbaik 10.11 saat (s) pada kejohanan di Louisiana baru-baru ini, atlet kelahiran Perak itu merasakan dirinya berada di landasan tepat untuk memadam rekod kebangsaan 10.09s miliknya tidak lama lagi.

"Saya bersyukur sebab dapat buat catatan musim terbaik 10.11s di kejohanan Southeastern Conference (SEC) dua minggu lepas yang (catatan) dibezakan 0.02s daripada rekod kebangsaan, ia sangat bagus lagipun saya lakukannya di penggal pertama 2023.

"Saya masih mempunyai musim yang panjang dan saya yakin akan memecahkan rekod kebangsaan milik sendiri dalam masa beberapa bulan lagi," katanya yang berada di Florida ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Selepas Terbuka Malaysia, penuntut Universiti Auburn, Alabama itu akan menghadapi pertandingan lebih besar iaitu Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand pada Julai, Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary (Ogos) dan temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September.

Muhammad Azeem, yang tidak bersama skuad olahraga negara ke temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini, turut berazam melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum akhir tahun ini.

"Jika tiada halangan, diberikan kesihatan yang baik dan semua berjalan lancar, sebelum 2024 saya akan cuba sedaya upaya untuk layak sebab saya nak buat kerja mudah layak awal kemudian hanya kekalkan prestasi. Secara keseluruhan saya di landasan yang baik," katanya.

Awal pagi tadi waktu Malaysia, Muhammad Azeem mencatat masa 10.04s dengan bantuan angin 5.5s dalam pusingan suku akhir saingan divisyen satu Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Jacksonville, Florida, namun gagal mara ke pusingan seterusnya.

Beliau mengakui tidak berada pada tahap terbaik selepas mengalami kecederaan pangkal paha yang memaksanya berehat dan tidak menjalani latihan selama enam hari.

"Boleh kata tidak berlatih selama seminggu terus berlari di pusingan pertama dan mara ke suku akhir adalah satu perkara yang positif bagi saya.

"Sebelum ini, kalau cedera saya akan bertindak lebih awal dengan menarik diri tapi disebabkan ini adalah tahun pertama saya di sini, jadi saya cuba lakukan sesuatu untuk diri sendiri dan negara, mungkin belum rezeki saya," katanya.

Muhammad Azeem mencipta rekod kebangsaan 100m pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia, Ogos tahun lepas sekali gus memadam catatan lama 10.18s milik Khairul Hafiz Jantan yang dilakukan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!