Bukit Aman selamatkan 5 kanak-kanak warga asing jadi buruh paksa
KUALA LANGAT - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyelamatkan lima kanak-kanak warga asing yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam serbuan di sebuah kilang memproses barang terpakai di Telok Panglima Garang di sini, pada Jumaat.
Menurut sumber, serbuan dijalankan pada jam 5.45 petang hasil risikan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), D3, JSJ, Bukit Aman sejak beberapa bulan lalu bersama Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
"Serbuan sama turut membawa kepada penangkapan seramai 80 warganegara asing yang didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas permit kerja.
"Fokus operasi ini adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi buruh paksa) dengan berpandukan kepada indikator National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) yang dibangunkan untuk membantu agensi penguat kuasa," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, lima kanak-kanak yang diselamatkan di bawah Akta Atipsom itu terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan warga Kemboja dan Myanmar serta dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar dan seorang kanak-kanak lelaki warga Pakistan lingkungan usia 16 hingga 17 tahun.
"Hasil siasatan awal, mereka bekerja di kilang berkenaan dengan meleraikan barang-barang elektronik terpakai sejak tiga bulan lalu dan dibayar sebanyak RM70 hingga RM80 sehari.
"Mereka diselamatkan dan ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan, manakala semua warga asing yang ditahan terdiri daripada 29 warga Kemboja, enam warga Bangladesh, 27 warga Myanmar, 13 warga Pakistan dan lima warga China telah direman selama 14 hari," katanya.
Menurutnya, pihak polis turut melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan yang disyaki pengurus kilang berkenaan dan seorang lelaki warga China disyaki berperanan sebagai penolong pengurus.
"Kedua-dua mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!